PENGENDALI skuad B-23 tahun kebangsaan, E. Elavarasan terpaksa akur dengan senarai pemain yang dapat dikumpulkan untuk Kejohanan Piala AFF B-23 di Rayong, Thailand kerana kejohanan ini berada di luar kalendar Fifa.
Seramai 25 pemain telah disenaraikan Elavarasan untuk kejohanan ini tetapi banyak pemain-pemain utama tidak mendapat perlepasan daripada kelab ekoran tanggungjawab mereka kepada kelab dengan saingan Liga Super dan Piala Malaysia yang masih berlangsung.
Namun, Ela tetap positif dan mahu kesemua pemain yang dipanggil untuk menunjukkan kemampuan mereka dalam kejohanan ini meskipun mempunyai masa yang cukup singkat untuk mempersiapkan pasukan sebelum terbang ke Thailand.
“Piala AFF ni bukan dalam kalendar Fifa dan kita kena tahu tanggungjawab pemain dengan kelab tetapi ada kelab yang melepaskan pemain yang kita perlukan meskipun bukan pilihan utama dan atas sebab ini saya ucapkan terima kasih kepada kelab-kelab.
“Kejohanan ini adalah satu perancangan yang bagus untuk kita menjelang kelayakan Piala AFC. Ini bagi peluang untuk pemain yang tidak dinamakan dan tambahan tujuh muka baharu dan akan lihat persembahan mereka dalam kejohanan ini,” katanya ketika ditemui di sesi latihan rasmi skuad.
Skuad Harimau Malaya B-23 tahun ini juga diletakkan sasaran untuk ke final dan Ela yakin berdasarkan kegagalan di Sukan Sea tempoh hari, mereka sudah mempunyai pengalaman untuk menghadapi cabaran di Thailand.

Barisan pemain yang berlatih pada hari pertama kem latihan pusat
Ela juga menegaskan bahawa meskipun dibarisi banyak pemain baharu namun, corak permainan tetap akan mengikut modul pasukan utama dan berharap para pemain cepat memahami apa yang barisan kejurulatihan mahukan.
“Dalam mana-mana kejohanan, kita perlu sasaran tertinggi dan kami anggap ianya cabaran yang baik selepas tidak berjaya di Sea Games dan berdasarkan pengalaman itu, kali ini kami akan buat yang terbaik.
“Kalau di bawah kalendar Fifa, kita akan dapat pemain terbaik tetapi jika tidak kami perlu ambil pemain yang sesuai dengan model permainan kita. Setelah barisan kejurulatihan berbincang dengan kelab dan apa yang kami dapat adalah yang terbaik buat masa sekarang.

E. Elavarasan
“Kita akan ikut modul pasukan utama dan cuba buat perkara yang sama. Selepas Sukan Sea, ada banyak yang perlu dibuat dan setiap kejohanan kita cuba perbaiki dan sasaran kita untuk pergi lebih jauh,” tambahnya.
Skuad ini hanya akan lengkap pada 15 Ogos sebelum berlepas ke Bangkok pada 16 Ogos dan barisan kejurulatihan berharap para pemain cepat memahami apa yang diperlukan bagi menghadapi kejohanan ini.
“Pada hari ini ada 13 pemain dan esok akan tambah pemain dengan pasukan penuh pada 15 Ogos sebelum berlepas pada 16 Ogos. Perlawanan pertama pada 18 Ogos dan kami ada tiga hari untuk siapkan pasukan dan harap pemain dapat cepat faham dengan modul yang dimahukan.
“Kalau ada masa yang lebih panjang lebih bagus tetapi kita perlu faham keadaan liga yang berjalan dan semua pasukan juga mengalami masalah yang sama dan perlu kerja lebih keras untuk siapkan pasukan,” jelasnya.
Malaysia akan membuka tirai saingan bertemu Indonesia pada Jumaat sebelum berhadapan Timor Leste untuk aksi Kumpulan B dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Rayong, Thailand.