SKUAD Harimau Malaya kini memasuki fasa kritikal menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan A kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 pada Jumaat.

Pemain tengah negara, Endrick Dos Santos, optimis dengan peluang pasukan untuk mara ke peringkat seterusnya, namun menegaskan bahawa fokus pasukan adalah kunci utama untuk memastikan kemenangan milik Malaysia ketika menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika ditemui di Wisma FAM sebelum sesi latihan pada Rabu petang, Endrick menyatakan kegembiraan atas situasi semasa selepas Singapura tewas kepada Thailand. Baginya, peluang yang masih terbuka untuk Malaysia harus dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kami gembira kerana kita masih mempunyai peluang. Kita hanya perlu fokus pada permainan kami.

“Situasi ini sama seperti di AFF 2022, di mana kita perlu menang perlawanan akhir kumpulan. Oleh itu, fokus kami hanya pada perlawanan Jumaat ini, dan kami akan cuba menang,” katanya.

Mengenai kekuatan Singapura, Endrick mengakui lawan memiliki pemain berkualiti dan permainan pantas, namun menegaskan bahawa Harimau Malaya lebih memilih untuk fokus kepada pasukan sendiri.

“Mereka bagus dan sangat cepat. Tetapi, kita hanya perlu melihat kelemahan dan kelebihan kami.

“Kami tahu bahawa kami berada dalam situasi yang sukar kerana wajib menang, tetapi kami fokus pada permainan dan cuba memberikan yang terbaik,” tambahnya.

Endrick juga melihat kehadiran skuad penuh kali ini sebagai kelebihan besar untuk Malaysia, walaupun terdapat beberapa pemain yang masih terlibat dengan aksi kelab mereka.

“Ya, kali ini skuad penuh. Tetapi ada pemain yang masih bermain perlawanan liga malam ini, jadi kami tidak pasti jika mereka akan berada di tahap 100 peratus atau tidak.

“Namun, kami akan fokus pada siapa yang sudah ada di sini. Permainan kami menentang Thailand sebelum ini sangat bagus, dan sudah lama Malaysia tidak bermain baik seperti itu,” ujarnya.

Endrick turut menyeru sokongan padu penyokong Malaysia di Bukit Jalil bagi memastikan semangat pasukan terus membara dalam perlawanan penting ini. setakat jam 5 petang, sudah lebih 7,000 keping tiket terjual bagi aksi Malaysia lawan Singapura.

“Kami bermain di Bukit Jalil, jadi kami memerlukan sokongan daripada penyokong. Saya yakin kami akan bermain dengan baik dan memberikan permainan terbaik kami.

“Sekarang kami mempunyai peluang besar, dan saya percaya kami akan berjaya,” katanya dengan penuh keyakinan.

Harimau Malaya hanya perlu memastikan kemenangan ke atas Singapura pada Jumaat ini untuk terus menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya.

Dengan semangat yang tinggi dan sokongan padu penyokong di Bukit Jalil, Malaysia bakal berjuang habis-habisan untuk mencipta kejayaan.