MENGAPA baru sekarang!
Begitulah persoalan yang dilemparkan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, terhadap pengumuman bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, yang menawarkan diri untuk merebut jawatan Presiden MPM pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Sabtu ini.

Bekas KP MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menawarkan diri bertanding sebagai presiden MPM, pada 6 Disember lalu.
Megat, yang turut mengesahkan hasratnya mempertahan jawatan tersebut, menyifatkan langkah Shapawi itu sebagai hipokrit.
“Sepanjang sembilan tahun beliau menjadi Ketua Pengarah MSN, beliau tidak serius memperjuangkan nasib persatuan dan atlet para negara. Jadi, kenapa sekarang baru mahu menjadi hero sukan para?
“Bagi saya, ini adalah tindakan hipokrit paling tinggi dalam sejarah sukan para negara. Ketika beliau memiliki kuasa, berlaku penindasan terhadap sukan para – dan itu adalah satu fakta. Lebih baik beliau berehat sahaja,” katanya, dalam sidang media hari ini.
Pada 6 Disember lalu, Shapawi dalam satu kenyataan mengumumkan hasrat bertanding jawatan Presiden MPM.
Beliau mendakwa keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan ahli gabungan MPM yang mahukan perubahan dalam kepimpinan badan induk sukan para negara itu.
Mengulas lanjut, Megat berkata, beliau bertanding semula kerana masih ada agenda penting yang perlu diselesaikan demi kemajuan MPM dan sukan para negara.

Datuk Megat D Shahriman akan mempertahan jawatan presiden MPM.
“Antara fokus utama adalah untuk memeterai dua kontrak kerjasama penting dengan syarikat besar. Ia bertujuan menyediakan dana bagi menyokong program akar umbi prestasi tinggi serta program luar podium.
“Langkah ini penting untuk memperkasa persatuan sukan para kebangsaan dan memacu pembangunan sukan para negara,” ujarnya.
Sejak menerajui MPM pada 2019, Megat berjaya membawa badan itu ke peringkat yang lebih tinggi di rantau ASEAN, Asia, dan dunia. Antara pencapaiannya ialah dilantik sebagai Ahli Lembaga Tadbir APSF (Asean Para Sports Federation), Wakil Sub-Region Asia Paralympic Committee, dan Ahli Lembaga Eksekutif IFCPF (International Football CP Federation).
“Ini semua usaha kolektif untuk memastikan sukan para negara terus dihormati dan maju di pentas antarabangsa,” katanya.
AGM MPM pada Sabtu ini dijangka menarik perhatian ramai, dengan persaingan untuk jawatan nombor satu menjadi tumpuan utama.