PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila tidak berjaya membawa Malaysia menjulang piala Kejohanan Pestabola Merdeka 2023 meskipun sedar ianya menjadi dambaan para penyokong.

Pan-gon juga menegaskan tidak ada kesilapan dalam percaturan permainan cuma beberapa kesilapan kecil mengundang padah dan Malaysia perlu lebih banyak belajar dari perlawanan ini untuk pelbagai kejohanan akan datang.

Dia juga mengambil sepenuh tanggungjawab atas kekalahan ini dan tidak mahu para penyokong mengkritik pemain sebaliknya menyerang dirinya kerana segala keputusan di dalam padang dilakukan olehnya sendiri.

“Kita perlu belajar dari kesilapan dan bukannya mengkritik mereka yang melakukan kesilapan. Saya mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan ini kerana saya yang membuat keputusan atas semua perkara di dalam padang dan pemain sudah lakukan yang terbaik.

“Saya meminta maaf kepada penyokong Malaysia kerana tidak berjaya memberikan kejuaraan yang telah lama dinantikan oleh semua. Kami sentiasa bermain untuk menang tetapi bukan setiap masa kita akan beroleh kemenangan. Apa yang penting adalah kita menang sama-sama, kalah sama-sama,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu juga mengakui tekanan yang berlebihan dari pelbagai pihak untuk melihat Malaysia muncul juara selepas kemarau kejuaraan selama 13 tahun menjadi salah satu punca Malaysia tidak mampu beraksi pada tahap yang sebenar.

If you want to attack just attack me, leave the player alone,” katanya mempertahankan pemainnya yang sudah memberikan segalanya di atas padang untuk membanggakan negara dan penyokong.

Dia juga mahu segera melupakan kekecewaan ini dan bergerak ke hadapan untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November dan juga Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024.

Malaysia tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam aksi final Pestabola Merdeka menerusi jaringan Soirov Rustam dan Samiev Shahrom pada setiap babak sekali gus meneruskan kemarau kejuaraan buat Harimau Malaya.