PEMAIN tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba akui terpaksa menghadapi jadual padat perlawanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 termasuk kini akan berdepan Thailand pada Sabtu.
Menurutnya, walaupun sukar untuk bermain dalam tempoh masa yang singkat, dia tetap berusaha memberikan yang terbaik untuk negara dan kepada peminat.
“Saya cuba berikan yang terbaik dan lakukan apa sahaja yang saya boleh untuk negara saya. Ini adalah minat saya dan inilah yang saya inginkan. Saya berkorban untuk negara.
“Saya cuba melakukan pemulihan dengan baik dengan bantuan staf, dan semua pemain. Saya harap saya dapat memberikan 100 peratus,” katanya dalam sidang media di Bangkok.
Syamer turut memberi pandangan mengenai harapan peminat yang berkurangan selepas prestasi pasukan yang tidak memuaskan dalam beberapa perlawanan terakhir.
Menurutnya, sebagai pemain, dia memahami perasaan peminat dan memberi penghargaan terhadap hak mereka untuk meluahkan rasa tidak puas hati.
“Sebagai peminat, mereka mempunyai hak untuk merasai apa yang mereka rasa selepas dua perlawanan ini. Kami tahu bahawa perlawanan sebelum ini bukanlah prestasi terbaik kami.
“Mereka berhak untuk meluahkan apa yang mereka rasa. Tetapi kami di sini, kami dalam pasukan, kami bersama. Kami cuba untuk positif dan kami bekerja keras untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Syamer berharap agar peminat terus memberikan sokongan kepada pasukan Harimau Malaya, meskipun berdepan liku yang berat kempen kali ini.