JURULATIH Harimau Malaya, Pau Marti Vicente tetap yakin semangat anak buahnya menghadapi Thailand dalam aksi ketiga Kumpulan A, Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 pada Sabtu.

Malaysia hadir sebagai pendahulu semasa kumpulan dengan empat mata semestinya enggan tercicir mata penting dalam usaha mengintai slot ke separuh akhir kempen kali ini.

“Kami sangat teruja untuk bermain lebih banyak. Saya rasa kami bakal berhadapan dengan pasukan terkuat dalam kejohanan ini di Asia Tenggara, jadi kami perlu memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media di Bangkok.

Pau Marti turut mengulas tentang peranan pemain utama serta cabaran memilih kesebelasan terbaik dalam menggempur kubu Gajah Perang.

“Kami berbincang tentang beberapa pemain, tetapi kami mempunyai skuad besar dengan 26 pemain. Semua yang berada di sini sangat bermotivasi untuk bermain dalam perlawanan seperti ini. Sebab itulah mereka menjadi pemain bola sepak – untuk bermain di kejohanan rasmi dan menentang pasukan-pasukan kuat,” katanya.

Jurulatih asal Sepanyol itu juga menekankan bahawa pengalaman bermain menentang pasukan kuat akan menjadi motivasi besar bukan sahaja untuk pemain tetapi juga seluruh pasukan.

“Saya rasa kami mempunyai cukup pemain dan juga ketua pasukan kami di sini untuk perlawanan ini, serta ramai pemain lain yang boleh membantu kami. Saya rasa kami tidak dapat mengubah banyak perkara.

“Kami tidak mempunyai masa yang panjang untuk persediaan dan pemulihan, jadi kami tidak boleh mengubah banyak tentang pendekatan kami. Tetapi kami mempunyai cukup pemain untuk bermain perlawanan ini. Jadi, kami akan menghadapi perlawanan ini dengan semua kemungkinan yang ada,” katanya.

Pasukan negara akan menjalani sesi latihan terakhir dan menilai keadaan pemain sebelum memilih barisan terbaik untuk perlawanan ini.

Harimau Malaya kini berada di kedudukan keempat di Asia Tenggara, di belakang Thailand (97), Vietnam (116), dan Indonesia (124).