HILANG beberapa tonggak utama, Harimau Malaya bakal berdepan cabaran besar apabila turun menentang skuad Gajah Putih Thailand dalam aksi ketiga Kumpulan A Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 di Stadium Rajamangala, Bangkok, pada Sabtu.

Ketiadaan pemain-pemain penting seperti Dominic Tan, Stuart Wilkin, Daniel Ting, dan Darren Lok kerana komitmen kelab, selain Syafiq Ahmad yang cedera, mencetuskan kebimbangan besar buat skuad kebangsaan.

Perlawanan ini bukan sahaja penting untuk menentukan peluang Malaysia mara ke separuh akhir, tetapi juga sebagai ujian sebenar kemampuan skuad bimbingan Pau Marti menentang juara bertahan.

Thailand hadir ke perlawanan ini dengan reputasi yang menakutkan. Perlawanan pertama mereka telah mencatat kemenangan besar, dengan membelasah Timor Leste 10-0. Kemasukan semula pemain tengah berkaliber tinggi, Ekanit Panya, memberikan dimensi tambahan kepada serangan mereka.

Di gelanggang keramat Rajamangala, mereka memiliki rekod sukar di atasi dalam kejohanan serantau, menjadikan cabaran untuk Harimau Malaya lebih getir.

Statistik menunjukkan dalam 17 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Thailand mendominasi dengan 8 kemenangan berbanding 4 milik Malaysia, sementara 5 perlawanan berakhir seri.

Namun, Malaysia pernah membuktikan keupayaan mereka dengan kemenangan 1-0 di Bukit Jalil dalam separuh akhir Piala ASEAN 2022, walaupun tewas 3-0 di Bangkok pada perlawanan timbal balik.

Statistik lima perlawanan terakhir bagi kedua-dua pasukan.

Bagi Harimau Malaya, isu ketumpulan serangan terus menghantui. Walaupun kerap mencipta peluang, penyudah klinikal masih menjadi kelemahan utama, lebih-lebih lagi tanpa kehadiran Stuart Wilkin dan Syafiq Ahmad, yang sebelum ini sering memainkan peranan penting dalam membina serangan.

Pau Marti perlu mencari solusi kreatif untuk mengimbangi kelemahan ini, sambil berharap pemain gantian seperti Fazrul Amir dapat memberi impak di separuh masa kedua.

Sementara itu, skuad Thailand berpotensi mencipta ancaman menerusi pergerakan licik Ekanit Panya dan ketajaman Suphanat Muenta di depan gawang.

Mereka bijak mengawal tempo permainan, dan keupayaan mereka mengeksploitasi ruang di bahagian tengah boleh menjadi masalah besar buat pertahanan Malaysia jika tidak berhati-hati.

Sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti setibanya di Bangkok, semalam bagi persiapan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan A, Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 menentang Thailand di Stadium Rajamangala, malam ini. FOTO:FAM

Malaysia perlu tampil dengan mentaliti kuat dan disiplin pertahanan yang tinggi. Tekanan awal terhadap pemain tengah Thailand mampu mengganggu rentak mereka, tetapi Harimau Malaya juga perlu lebih tajam di depan gawang untuk memanfaatkan setiap peluang yang ada. Ini adalah perlawanan yang menuntut ketahanan fizikal dan mental tinggi.

Walaupun Thailand adalah pasukan pilihan, Harimau Malaya tetap memiliki peluang jika mereka dapat memanfaatkan kelemahan lawan, terutama dalam situasi bola mati dan serangan balas pantas.

Sokongan peminat Malaysia, walaupun dari jauh, mampu menyuntik semangat tambahan buat pemain negara. Ayuh Malaysia, tunjukkan taring Harimau Malaya!