JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menganggap padang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras berada dalam keadaan yang kurang baik sehingga menyukarkan mereka untuk bermain corak permainan pantas seperti kebiasaan.
Perkara ini diakui sendiri pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio yang menjelaskan ianya satu aksi yang cukup sukar dalam keadaan padang yang kurang baik namun masih gembira kerana JDT berjaya meraih kemenangan 2-1 keatas Kuala Lumpur City FC dalam suku akhir pertama Piala Malaysia.
Jaringan Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes cukup untuk memberikan kelebihan tipis buat JDT pada aksi timbal balik minggu hadapan dengan Brendan Gan merapatkan jurang pada akhir permainan untuk membuka peluang KL City melakar kejutan di Iskandar Puteri.
“Kami tahu ianya akan menjadi aksi yang sukar apabila berhadapan lawan yang bermain secara bertahan namun pada saya JDT bermain baik dengan keadaan padang yang tidak membantu permainan.
“Ianya keputusan yang baik dalam aksi di tempat lawan tetapi kami tidak berjaya menggerakkan bola lebih pantas dan akan melakukan perkara yang lebih baik di laman sendiri, di padang kami pada aksi timbal balik nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Perkara ini juga dipersetujui oleh penjaring terbanyak JDT, Bergson yang turut mengakui keadaan padang di Cheras semakin kurang baik setiap kali mereka bertandang ke sini.
Namun dia gembira kerana jaringannya membantu pasukan meraih kemenangan selain berpuas hati dengan komunikasi di atas padang bersama Heberty Fernandes yang mencipta gol kedua buat juara bertahan Piala Malaysia itu.
“Setiap kali kami ke sini, kami jangkakan keadaan padang akan bertambah baik tetapi hari ini adalah keadaan terburuk pernah dirasai dan sukar untuk bermain cara permainan kami tetapi berjaya lakukan yang terbaik untuk membawa kelebihan ke laman sendiri.
“Saya dan Heberty adalah rakan sebilik dan bertutur bahasa yang sama. Kami sering berbincang sebelum dan selepas permainan dan di dalam padang kami mempunyai kombinasi yang baik dan gembira dia juga berjaya jaringkan gol dalam perlawanan ini,” jelasnya.
JDT membawa kelebihan satu gol ke Stadium Sultan Ibrahim dan satu perlawanan sengit dijangka pada aksi suku akhir kedua dengan kedua-dua pasukan mahu merebut tempat ke separuh akhir.