SKUAD bola sepak kebangsaan kini sudah mengetahui siapakah lawan yang bakal dihadapi ketika Piala Asia AFC 2023 apabila majlis undian peringkat kumpulan selesai dilaksanakan di Katara Opera House, Doha, Qatar pada Khamis.

Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan sekaligus memperlihatkan peluang yang agak terbuka buat pasukan negara layak ke peringkat 16 terbaik.

Mengikut format terkini Piala Asia, AFC menetapkan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak secara automatik ke peringkat 16 terbaik dengan empat lagi pasukan bakal layak sebagai pasukan tempat ketiga terbaik.

 

Melihat daripada hasil undian, hanya Korea Selatan yang benar-benar berada pada satu tahap berbeza dengan Jordan dan Bahrain boleh dikatakan mempunyai tahap yang hampir sama dengan skuad kendalian Kim Pan-gon.

Korea Selatan yang kini di ranking ke-27 dunia dibimbing bekas juara Piala Dunia 1990 dan Euro 1996, Jurgen Klinsmann dilihat sebagai pasukan pilihan untuk Kumpulan E dengan barisan pemain yang sangat berkualiti dan berstatus bintang yang bermain di pelbagai liga di Eropah.

Ini juga adalah peluang terbaik buat Korea Selatan untuk muncul juara Piala Asia AFC selepas kali terakhir memenanginya pada 1960 dan kali terakhir layak ke final pada edisi 2015 di Australia sebelum tewas kepada tuan rumah dengan keputusan 2-1 dan hanya berjaya ke suku akhir pada edisi 2019 lalu di Emiriah Arab Bersatu.

Korea Selatan bakal terima bimbingan dari Jurgen Klinsmann

Lawan pertama Malaysia yang dijadualkan pada 16 Januari 2024 nanti, Jordan pula kini menduduki ranking ke-84 dunia dengan rekod terbaik di Piala Asia adalah layak sehingga ke peringkat suku akhir pada edisi 2004 dan 2011.

Edisi 2019 menyaksikan Jordan dimalukan Vietnam pada peringkat 16 terbaik apabila tewas penentuan penalti 2-4 selepas terikat 1-1 dalam 90 minit masa permainan sebenar dan kini bakal berhadapan satu lagi pasukan dari rantau Asia Tenggara.

Hanya satu tangga diatas Jordan, Bahrain sekali lagi akan bertemu Malaysia apabila sebelum ini kedua-duanya pasukan diundi dalam Kumpulan E ketika pusingan kelayakan ketiga yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan Bahrain bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 dalam cuaca yang kurang baik.

Skuad kebangsaan Jordan

Dengan rekod terbaik tempat keempat pada edisi 2004 di China, Bahrain tidak pernah gagal layak ke Piala Asia AFC tetapi terkandas di peringkat kumpulan pada edisi 2007, 2011 dan 2015 sebelum layak ke peringkat 16 terbaik pada edisi 2019 yang menyaksikan mereka disekat Korea Selatan.

Bahrain dan Korea Selatan sudah pasti mempunyai hutang masih belum dilunaskan dan mungkin ini peluang buat Malaysia untuk mencuri mata dari salah satu pasukan ini terutama apabila kedua-dua mereka bertemu dalam perlawanan pembukaan pada 16 Januari 2024.

Malaysia yang layak secara merit kini ditangga 138 dunia, naik tujuh anak tunggu dalam ranking Fifa sekaligus menaikkan semangat Harimau Malaya untuk membuktikan kemampuan mereka yang layak ke Piala Asia AFC secara merit selepas 43 tahun.

Kali terakhir Malaysia bertemu Bahrain pada Jun 2022

Siapa pun lawan, Malaysia pastinya tidak gentar dengan bantuan sorakan daripada ekor harimau, semestinya ini adalah detik terbaik buat Harimau Malaya untuk menghasilkan satu keputusan positif yang boleh dibanggakan peminat bola sepak tempatan.

Jadual Kumpulan E Piala Asia AFC 2023

16 Januari 2024 – Malaysia lawan Jordan

22 Januari 2024 – Malaysia lawan Bahrain

28 Januari 2024 – Malaysia lawan Korea Selatan