PASUKAN hoki remaja wanita negara meneruskan rentak cemerlang di Piala Remaja Wanita Asia 2024 selepas membenam Bangladesh 6-1 dalam perlawanan ketiga Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Hoki Al-Amarat, Muscat, Oman, malam Rabu.

Kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan peluang Malaysia untuk mara ke peringkat seterusnya, malah menonjolkan kehebatan Zati Alyani Muhammad Zubir yang mencuri perhatian dengan hatrik dan dinobatkan sebagai Player of the Match.

Malaysia membuka jaringan seawal minit ke-8 melalui pukulan sudut penalti Zati Alyani sebelum beliau menggandakan jaringan pada minit ke-30.

Tidak terhenti di situ, Zati terus menambah gol peribadinya pada minit ke-41 melalui gol padang, manakala Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi (minit ke-44), Nurshamine Azureen Mohammed Badusha (minit ke-45), dan Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisyam (minit ke-53) turut mencatat nama sebagai penjaring dalam perlawanan ini.

Pasukan hoki remaja wanita negara meneruskan rentak cemerlang di Piala Remaja Wanita Asia 2024 selepas membenam Bangladesh 6-1 semalam.

Bangladesh, yang bergelut untuk menyaingi tempo permainan Malaysia, hanya mampu mencetak satu gol sagu hati melalui pukulan penalti oleh Orpita Pal pada minit ke-49.

Ketua jurulatih pasukan negara, Lailin Abu Hassan, menyifatkan kemenangan ini sebagai hasil usaha keras pemain yang terus menunjukkan semangat juang tinggi walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Matlamat kita untuk mendapatkan tiga mata berjaya. Walaupun ada sedikit kekurangan, pemain telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk mengalahkan Bangladesh.

“Untuk perlawanan menentang China, kita perlu lebih berhati-hati, terutamanya pada separuh masa kedua,” ujar beliau.

Lailin turut menyeru pemain untuk meningkatkan keyakinan diri, terutama ketika peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke pentas dunia kini semakin cerah.

“Saya pasti pemain akan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang telah disasarkan,” tambahnya.

Malaysia kini bersiap sedia untuk menghadapi cabaran getir menentang China pada perlawanan keempat Kumpulan A yang dijadualkan berlangsung malam ini pada jam 8:45 waktu Malaysia.

Perlawanan ini bakal menjadi ujian sebenar buat skuad muda negara, dengan China dilihat sebagai salah satu pencabar utama dalam kejohanan ini.