LAMAN sosial Influencers World Cup baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila mengumumkan bahawa kejohanan Piala Dunia Pempengaruh bakal diadakan buat julung kalinya di Johor, Malaysia, pada bulan September tahun ini.
“Buat pertama kalinya dalam sejarah, Influencers World Cup akan berlangsung di Johor, Malaysia, pada bulan September 2025.
“Acara unik ini bakal menyaksikan 8 pasukan antarabangsa yang terdiri daripada pencipta kandungan bertanding dalam kejohanan bola sepak 11 sebelah, menggabungkan dunia sukan dan media sosial dalam satu persembahan yang pasti tidak akan dilupakan.
“Kejohanan terbesar melibatkan pempengaruh dari seluruh dunia akan diadakan di Malaysia pada bulan September ini,” tulis kenyataan itu di Instagram Influencers World Cup.
Apa yang lebih menarik, kejohanan ini bakal menampilkan penyertaan beberapa negara terkemuka seperti Argentina, Sepanyol, Perancis, Mexico, England, Chile, Colombia, serta Malaysia, sekali gus mencuri perhatian peminat bola sepak dan media sosial.
Kejohanan ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan hubungan antara dunia bola sepak dan media sosial yang kian berkembang, malah ia memberikan impak besar kepada Malaysia serta memperkenalkan Johor sebagai destinasi antarabangsa.
Bermain dalam format 11 lawan 11, kejohanan ini dijangka menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pempengaruh global.
Bagaimanapun, individu atau pasukan yang bakal membawa cabaran negara masih belum diumumkan.