BEKAS penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, atau lebih dikenali sebagai Matyo, menyarankan agar Terengganu FC memberikan tumpuan sepenuhnya kepada saingan Shopee Cup selepas kekalahan besar 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Kekalahan tersebut menyaksikan Harimau Selatan mendominasi sepenuhnya perlawanan dengan jaringan daripada Romel Morales, Arif Aiman Hanapi, dan Bergson da Silva.

Situasi ini menyebabkan peluang Terengganu untuk bangkit dalam perlawanan timbal balik kelihatan tipis, dan Matyo percaya adalah lebih baik pasukan gergasi Pantai Timur itu mengalihkan fokus mereka kepada Shopee Cup.

“Jika saya di tempat mereka, saya akan fokus kepada Shopee Cup kerana Terengganu masih berpeluang mara lebih jauh dalam kejohanan tersebut,” jelas Matyo.

Dia turut optimis terhadap peluang pasukan bimbingan Badrul Afzan Razali yang kini berada dalam Kumpulan A bersama KL City, PSM Makassar, dan BG Pathum United.

Dengan empat mata hasil satu kemenangan, satu seri, dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan, Terengganu masih berpeluang cerah untuk ke separuh akhir, asalkan mereka memenangi baki dua perlawanan.

Terengganu dijadualkan beraksi menentang PSM Makassar di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 22 Januari sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan pertemuan menentang BG Pathum United pada 5 Februari.

“Terengganu sebenarnya berada dalam posisi yang baik untuk melangkah lebih jauh. Saya yakin Coach Bad sudah mempunyai strategi tersendiri untuk menguruskan pasukan, khususnya menghadapi aksi penting menentang PSM Makassar nanti,” tambah Matyo.

Dengan peluang mara ke separuh akhir Shopee Cup masih terbuka luas, tumpuan kini terarah kepada bagaimana skuad Peteh memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mencatat kemenangan penting dan membawa semangat baharu dalam saingan antarabangsa.