PASUKAN Sepak Takraw Malaysia tidak berdepan masalah apabila melangkah ke suku akhir regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas menewaskan Jepun 3-0 sebentar tadi.

Jepun memulakan hari dengan kemenangan apabila berjaya menewaskan Brunei 2-1 pada sebelah pagi. Mereka memerlukan kemenangan ke atas Malaysia untuk mengesahkan diri sebagai juara kumpulan C untuk mengelakkan diri daripada berjumpa Thailand.

Pasukan Samurai itu bermula garang pada game pertama apabila regu pertama mereka berjaya memberi saingan hebat kepada pemain trio Malaysia, Amirul Zazwan, Haziq Hairul Nizam dan Noraizat Nordin.

Set pertama pada perlawanan itu menyaksikan Malaysia ketinggalan pada satu masa namun gandingan regu pertama Malaysia berjaya meletakkan pasukan di hadapan disaat akhir set pertama dengan memenanginya 15-13.

Kegarangan skuad Samurai itu lenyap sekelip mata di set kedua apabila Malaysia memperkemaskan permainan mereka sekaligus menewaskan regu pertama Jepun dengan keputusan 15-4.

Regu kedua Malaysia yang diketuai oleh Syahir Rosdi mudah ‘melibas’ gandingan trio kedua Jepun, memenangi perlawanan dengan 15-5, 15-5. Regu ketiga negara juga mencatat keputusan positif 15-5, 15-7 untuk memberi Malaysia kemenangan bersih malam ini.

Menurut ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata persembahan regu pertama tidak konsisten di set pertama namun beliau bersyukur kerana dapat para pemain dapat mengawal permainan dengan baik.

Beliau menambah bahawa pemainnya perlu lebih bersedia bagi menghadapi perlawanan kalah mati esok.

“Untuk perlawanan esok, kita tidak boleh ambil mudah cabaran India dan setiap pemain perlu memandang serius perlawanan ini untuk kita mendapatkan kemenangan seterusnya ke peringkat seterusnya.

“Apa yang saya lihat tadi, permainan regu pertama kita agak statik dari segi persembahan dan kita harap mereka memperbaiki pada perlawanan peringkat kalah mati esok.

“Kalau kita lihat barisan pemain yang kita susun adalah regu yang kita padankan di peringkat latihan lagi. Jadi, kita harapkan mereka lebih bersedia perlawananesok,” katanya selepas perlawanan.

Pasukan negara akan bertemu naib juara kumpulan B, India pada perlawanan suku akhir tengah hari esok dan sekiranya menang akan bertemu sama ada Myanmar atau Indonesia di separuh akhir malam esok.