PENYERANG import Terengganu FC, Ismaheel Akinade mahu teruskan momentumnya untuk memburu gol seterusnya.
Bekas penyerang Kelantan Darul Naim FC itu telah menjaringkan dua gol ketika membelasah Sabah FC 4-0 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA dan dia terus bernafsu untuk menambahnya lagi dalam suku akhir kedua pada Sabtu.
“Alhamdulillah rezeki saya berjaya menjaringkan dua gol ketika menumpaskan Sabah FC 4-0 minggu lalu, terima kasih kerjasama rakan sepasukan selain kepercayaan yang diberikan barisan kejurulatihan.

Barisan kejurulatihan TFC meraikan kemenangan pasukan
“Sebagai penyerang, saya tidak pernah berasa puas untuk menjaringkan gol, ini tugas saya, jadi sekali lagi berdepan Sabah FC pada Sabtu ini, semangat untuk menjaringkan gol kian tinggi.
“Jika berpeluang, saya tekad untuk tambah bilangan gol peribadi dan juga pasukan selain membantu rakan di posisi pertahanan lebih-lebih lagi lawan pastinya bakal mengamalkan corak permainan menyerang,” katanya.
Dia turut menambah bahawa pasukannya masih perlu memberikan fokus walaupun kelebihan jaringan yang besar sudah kecapi oleh mereka.

Akinade menjaringkan dua gol ketika suku akhir pertama berlangsung minggu lepas
“Atas kertas kelebihan sudah pasti memihak kepada kami, tapi dalam bola sepak apapun boleh terjadi, lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan dengan sokongan padu daripada penyokong mereka.
“Tapi saya percaya dengan taktikal jurulatih kami kerana misi kami adalah untuk layak ke separuh akhir terlebih dahulu sebelum mengintai peluang ke final,” ujarnya.
Terengganu FC akan menentang Sabah FC di Stadium Likas bagi aksi suku akhir kedua.