WALAUPUN berdepan kritikan dan kecaman di media sosial, penyerang Sabah FC, Jose Embalo dijangka akan terus diberi kepercayaan pada kesebelasan utama pasukan itu.

Malam ini, The Rhinos akan melayan kunjungan Terengganu FC pada saingan Liga Super di Stadium Likas.

“Embalo akan pasti diturunkan untuk kita menilai prestasinya. Sebelum ini dia telah turun bermain dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari.

“Ini bukan satu perkara yang baru bagi saya, dia baru hadir dan kita harus memberikan kepercayaan di mana kita tahu untuk mengadaptasi dengan para pemain kita, ianya akan mengambil sedikit masa,” kata jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee.

Sementara itu, Kim Swee meminta kepada para penyokong untuk tidak mengulangi kesilapan lalu khususnya yang melibatkan insiden-insiden yang tidak diingini.

Beliau turut berharap agar para penyokong untuk terus hadir menyokong pasukan Sabah bukan hanya dalam perlawanan menentang kelab seperti JDT tetapi dalam semua aksi yang diadakan khususnya malam ini selain saingan bertemu Selangor FC bagi kempen suku akhir Piala FA.