FOTO : KDA FC
KEDAH Darul Aman FC berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA 2024 selepas mencatat kemenangan besar ke atas Bukit Tambun FC dalam perlawanan Pusingan 16 Piala FA 2024-25 dalam kempen itu musim ini.
Jurulatih Nafuzi Zain ternyata berpuas hati secara menyeluruh mengenai prestasi pasukannya selepas pertembungan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat.
Menurut Nafuzi, kemenangan ini sangat penting tanpa mengira siapa lawan mereka dalam mana-mana kejohanan.
“Yang penting adalah kemenangan. Tidak kira dengan siapa kita berjumpa, yang penting malam ini kita layak,” katanya dalam sidang media malam tadi.
Nafuzi menekankan bahawa fokus utama adalah untuk layak ke peringkat seterusnya dan memastikan pasukan terus berjuang.
Beliau turut mengulas mengenai strategi permainan yang lebih menyerang dalam usaha mencari gol, terutama dengan menurunkan dua penyerang utama buat pertama kali.
“Kita lebih kepada mencari gol, memberi peluang kepada penyerang kita,” ujarnya.
Nafuzi yakin bahawa percubaan untuk menurunkan dua penyerang ini akan memberikan keyakinan dan keserasian yang lebih baik dalam pasukan.

Kesebelasan utama skuad KDA FC aksi bertemu Bukit Tambun.
Mengenai kecederaan yang dialami oleh Syafiq Ahmad, Nafuzi menjelaskan bahawa ini membuka peluang untuk dua pemain lain beraksi.
“Kita memberi ruang untuk dua pemain bermain dan merehatkan beberapa pemain utama atas sebab kuota untuk bermain,” jelasnya.
Beliau juga optimis bahawa dengan lebih banyak peluang dan persefahaman, prestasi penyerang pasukan akan bertambah baik.
Walaupun Kedah bertemu dengan pasukan yang bukan dari Liga Super, Nafuzi menekankan kepentingan prestasi dan cara persembahan pasukan.
“Apa yang penting adalah cara persembahan kita bermain kerana bertemu dengan mana-mana pasukan pun, itulah persembahan yang kita akan tunjukkan,” tegasnya.

Amirul Hisyam menjaringkan gol kedua Sang Kenari.
Beliau gembira dengan kemenangan 5-0, namun percaya pasukan masih boleh menambah lebih banyak gol berdasarkan peluang yang tercipta.
Nafuzi juga menyentuh mengenai kad merah diterima Aiman Afif pada minit ke-70, menyatakan bahawa ia adalah sesuatu yang merugikan pasukan, namun berasa lega dengan jaringan yang telah dibuat sebelum itu.
“Ini mungkin memberi sedikit kelegaan tetapi dia tidak berniat dan tidak sengaja. Sebagai pemain muda, ini boleh diambil sebagai pengajaran dan pengalaman,” katanya.
Keseluruhannya, Nafuzi Zain berpuas hati dengan prestasi pasukan dan melihat kemenangan ini sebagai permulaan yang baik selepas rehat panjang hari perlawanan Fifa.
Beliau berharap momentum positif ini akan diteruskan dalam perlawanan Liga Super yang akan datang, khususnya bertemu dengan Penang FC di tempat lawan.