PENYERANG Kuching City FC, Syamie Iszuan gembira apabila berjaya menyumbang kepada kemenangan pasukannya ke atas Kuala Lumpur City FC dalam aksi Pusingan 16 Piala FA 2024-25 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat.

Syamie yang dimasukkan pada babak kedua berjaya menyumbang gol penyamaan sebelum melakukan hantaran yang menghasilkan gol kemenangan pada minit-minit akhir masa tambahan untuk memberikan slot suku akhir kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.

Pemain berusia 29 tahun itu juga memuji semangat juang rakan-rakan sepasukan dan mahu mereka mengekalkan momentum serta disiplin bagi menghadapi musim yang cukup panjang.

Shamie cemerlang bantu kemenangan Kuching City FC

“Syukur kerana kemenangan ini adalah hasil dari kerja keras semua dalam pasukan yang memberikan 100 peratus hingga minit-minit akhir kerana kita benar-benar mahukan kemenangan selepas tidak menang dalam tiga perlawanan sebelum ini.

“Saya gembira kerana berjaya membantu mengubah permainan pada babak kedua dan menterjemahkan apa yang jurulatih mahukan kerana ini semua adalah sebahagian daripada pelan permainan yang dirancang.

“Disebabkan saya baru pulang dari kem kebangsaan, jurulatih memberikan saya rehat terlebih dahulu pada babak pertama dan hanya memasukkan saya pada babak kedua untuk memburu gol penyamaan dan syukur kami berjaya melakukannya,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN sejurus perlawanan.

Shamie kini mahu dia dan rakan-rakan sepasukan kembali fokus kepada aksi Liga Super menentang Terengganu FC di laman sendiri sebelum bertemu pemenang antara Selangor FC atau Negeri Sembilan FC untuk aksi suku akhir Piala FA.