PENGANJURAN Piala Lee Chong Wei dilihat sebagai pelengkap penting dalam kesinambungan pembangunan bakat muda badminton Malaysia.

Legenda negara, Datuk Seri Lee Chong Wei merealisasikan impiannya memperkukuh akar umbi menerusi kejohanan yang membuka ruang lebih luas kepada pemain remaja menyerlahkan potensi.

Menurutnya, kejohanan julung kali itu diharap dapat dianjurkan secara konsisten setiap tahun dengan penambahbaikan berterusan dari segi kualiti penganjuran.

“Saya harap kejohanan ini boleh dianjurkan setiap tahun dan kita tingkatkan lagi kualitinya kerana ini permulaan untuk cari lebih banyak bakat baharu,” katanya.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyokong kejohanan Piala Lee Chong Wei.

Beliau menjelaskan objektif utama adalah membantu Persatuan Badminton Malaysia mengenal pasti pemain berpotensi khususnya dalam kelompok umur 13, 15 dan 17 tahun.

Chong Wei berkata kejohanan itu melengkapkan program pembangunan sedia ada BAM yang sebelum ini memberi tumpuan kepada kategori umur 12, 14 dan 16 tahun.

“Saya mahu beri lebih banyak peluang kepada pemain muda buktikan kemampuan dan galakkan mereka aktif bersukan,” katanya.

Sebagai tambahan motivasi, juara dan naib juara berpeluang menjalani sesi percubaan bersama BAM, sekali gus menjadikan kejohanan itu platform awal ke pentas lebih tinggi.

Edisi pertama Piala Lee Chong Wei ini, menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM100,000.