PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap sokongan serta kerjasama erat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan sukan negara berjalan lancar.

Hasrat itu disuarakan ketika kunjungan hormat beliau bersama barisan kepimpinan MOM ke pejabat Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari di Putrajaya.

Menurut Norza, kerjasama strategik antara kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan penyertaan negara dalam temasya pelbagai sukan sepanjang kitaran Olimpik dari 2025 hingga 2028 berjalan dengan baik.

“Kami mengharapkan sokongan berterusan dan kerjasama rapat kementerian serta agensinya dalam semua penyertaan temasya pelbagai sukan,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Taufiq selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia 2027 bagi memastikan penganjuran berjalan lancar.

Norza pada masa sama merakamkan penghargaan kepada KBS atas sokongan terhadap pembinaan ibu pejabat baharu MOM iaitu Olympic House di Kuala Lumpur Sports City.

Katanya, sebagai badan memayungi 58 persatuan sukan kebangsaan, sokongan tersusun amat diperlukan bagi memperkukuh tadbir urus serta pembangunan atlet.

“Dengan sokongan berterusan, kita dapat meningkatkan prestasi sukan berprestasi tinggi negara di pentas antarabangsa,” katanya.