SABAH FC kembali ke pentas separuh akhir TM Piala Malaysia selepas empat tahun apabila meraih kemenangan agregat 2-1 ke atas Kuching City FC dalam aksi penuh sengit di Stadium Likas, sebentar tadi.

Bagaimanapun, hujan sepanjang perlawanan mengakibatkan padang sedikit berat dan lembab dengan kedua-dua pasukan bermula corak berhati-hati.

Pelawat terlebih dahulu mencemaskan suasana apabila percubaan penyerang import, Abu Kamara seawal minit kedua tersasar ke sebelah kiri gawang pintu gol Sabah.

Jaringan Kamara juga dibatalkan m-19 kerana didapati offside sementara tandukan berbahaya kapten tuan rumah, Baddrol Bakhtiar sebelum itu, berjaya ditolak keluar Shaiful Wazizi Mohammad.

Permainan kembali rancak dan saling berbalas serangan namun tetap kebuntuan jaringan sehinggalah tamat 45 minit babak pertama.

 

Orang besi Sabah, Rizal Ghazali terpaksa dikeluarkan awal sebaik permainan bersambung kerana kecederaan dan kesempatan itu diambil pelawat melancarkan serangan bertali arus tetapi kekebalan benteng pertahanan dan penjaga gol, Damien Chien Khai Lim menafikan segalanya.

Rembatan pemain gantian Saddil Ramdani pula tepat ke arah Shaiful Wazizi. Usaha keras skuad pimpinan Irfan Bakti Abu Bakar itu membuahkan hasil apabila mereka berjaya memecahkan kebuntuan di Stadium Likas menerusi jaringan gol sendiri Ummareng Bacok m-84 sekaligus mengheret permainan ke masa tambahan 30 minit.

 

Taiki Kagayama menjaringkan gol penyamaan dan meletakkan The Rhinos di depan secara agregat m-94 sekaligus menjadi pemisah buat kelab dari Sarawak itu kempunan mara ke separuh akhir.

Kemenangan tersebut memastikan temujanji Sabah untuk bertemu Johor Darul Ta’zim di peringkat separuh akhir.