PENGENDALI baharu Johor Darul Ta’zim JDT, Hector Bidoglio nyata gembira dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Kuala Lumpur City FC dan memberikan pujian kepada para pemain yang menampilkan aksi menakjubkan sepanjang 90 minit permainan.
Dia yang baru mengendalikan perlawanan pertama selepas menggantikan Benjamin Mora juga berkata buat masa ini tidak banyak perkara yang dia perlu lakukan tetapi dia memastikan akan memberikan sesuatu kepada pasukan bersesuaian dengan konsep bola sepak moden.
Selain itu, jurulatih berusia 54 tahun itu juga memuji persembahan Hong Wan yang dilihat bakal berkembang menjadi pemain yang cukup baik di masa akan datang dan akan menggunakan kelebihan skuad besar yang dimiliki JDT untuk membuat penggiliran pemain.
“Saya gembira dengan pasukan dan para pemain. Mereka memberikan persembahan menakjubkan di atas padang. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor kerana memberi peluang kepada saya melatih pasukan hebat ini.
“Buat masa ini tidak banyak yang perlu dilakukan kerana pasukan bermain dengan baik sejak sekian lama. Selepas ini saya akan bercakap dengan para pemain ketika sesi latihan dan saya akan berikan sesuatu buat pasukan mengikut kehendak bola sepak moden.
“Hong Wan adalah pemain yabg pintar dan sentiasa mahu belajar dengan barisan kejurulatihan. Saya yakin dia akan berkembang menjadi pemain yang lebih baik di masa akan datang kerana dia dikelilingi pemain-pemain yang hebat.
“Penggiliran pemain amat penting bergantung kepada keadaan pemain dan juga tempoh pemulihan namun kami mempunyai skuad yang besar jadi kami akan menilai situasi dahulu sebelum melakukannya,” kata Bidoglio dalam sidang media pertamanya sebagai jurulatih di Liga Super.
Bekas pemain antarabangsa Venezuela ini juga berpendapat perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Penang FC nanti adalah satu lagi perlawanan yang penting dan mahu JDT layak ke perlawanan akhir.
“Sudah pasti ianya adalah satu perlawanan yang penting. Pasukan ini sudah biasa bermain dalam permainan besar seperti ini. Kami akan mengambil pendekatan satu perlawanan setiap masa dengan serius. Ianya pasti sukar tetapi saya mahu kita layak ke final,” tambahnya sebelum mengakhiri sidang media.
Kemenangan selesa ini pastinya memberikan semangat buat Hector yang berjaya bermula dengan langkah kanan bagi meneruskan legasi kejayaan dan membawa Harimau Selatan ke tahap yang lebih tinggi.