KUALA LUMPUR CITY FC terpaksa berpuas hati dengan kelebihan satu jaringan selepas berjaya menewaskan Sri Pahang FC 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol tunggal menerusi penalti Romel Morales pada minit ke-74 menjadi bekalan tipis buat anak-anak buah Nenad Bacina untuk berkunjung ke Kuantan dalam perlawanan sengit yang menyaksikan kedua-dua pasukan sering berbalas serangan demi serangan.

KL City dan Sri Pahang bermain dalam tempo yang agak laju namun kekentalan kedua-dua barisan pertahanan selain ketangkasan Izham Tarmizi di gawang Sri Pahang memastikan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Beberapa perubahan dilakukan Nenad Bacina pada babak kedua untuk memantapkan lagi serangan KL City yang diketuai Tchetche Kipre dan akhirnya mereka dianugerahkan sepakan penalti apabila kapten pasukan, Paulo Josue dikasari Syazwan Andik.

Penyerang Colombia itu tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Izham untuk memberikan kelebihan awal buat The City Boys sambil Sri Pahang terus melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan.

Peluang Sri Pahang untuk mendapat gol penyamaan dilihat semakin cerah apabila Kenny Palraj dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua namun kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan timbal balik di Stadium Darulmakmur pada 24 September untuk menentukan siapa bakal layak ke peringkat separuh akhir.