Foto Kredit: Kedah Darul Aman FC
TERHARU! Itu sahaja perkataan yang diulang-ulang oleh Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC Nafuzi Zain selepas menang 3-2 ke atas Kuala Lumpur City FC pada aksi Pusingan 16 Piala Malaysia.
Dengan pelbagai isu dalaman yang belum selesai bagi pasukan Sang Kenari itu, Nafuzi redha hanya dapat mengumpul 12 pemain untuk aksi ini.
“Saya sangat terharu dengan semangat pemain-pemain yang mahu bermain malam ini, dengan hanya seorang simpanan.
“Bertemu dengan KL, yang merupakan pilihan untuk menang, tetapi kita bermain dengan baik.
“Kita bernasib baik dengan hanya sebelas pemain sahaja. Perancangan Allah lebih baik.
“Apa yang lebih saya terharu dengan prestasi pemain selepas disahkan bermain dan mereka telah memberi yang terbaik.
“Saya tidak boleh bergantung dengan pemain-pemain lain, guna apa yang ada sahaja,” jelasnya selepas perlawanan pada Jumaat malam.
Dalam masa sama Nafuzi mengakui apa yang dilaluinya ini adalah satu pengalaman buatnya.
“Sebagai jurulatih, pengalaman ini saya perlu lalui. Ia sukar buat mana-mana pasukan, tetapi ini pertama kali bagi saya.
“Apa pun tahniah kepada semua pemain.”
Kedah Darul Aman merakam kemenangn menerusi dua jaringan dari Sony Norde dan satu gol Sukhrob Nurulloev.
Manakala dua gol KL City dari Ryan Lambert dan Jovan Motika.