WALAUPUN Perak FC dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 8-1 dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023, namun pengendali JDT, Esteban Solari menganggap barisan pemain muda skuad kendalian Yusri Che Lah begitu berani apabila beraksi secara terbuka.

Solari mengakui bahawa aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu sememangnya dikuasai sepenuhnya JDT tetapi keberanian pemain skuad The Bos Gaurus yang tidak mengamalkan corak bertahan dan tidak membuang masa dalam perlawanan itu boleh membantu perkembangan bola sepak negara.

“Kita tahu hampir keseluruhan pemain Perak di barisi pemain bawah 23 tahun dan mereka tidak kekok untuk bermain bola sepak secara terbuka malah apa yang mereka lakukan adalah mencuba untuk beraksi dengan baik dan tahu apa yang mereka lakukan.

“Saya menghargai apa yang dilakukan oleh mereka dalam perlawanan ini ditambah pula beraksi di laman kami yang diketahui sememangnya sukar untuk melakar kemenangan tetapi saya mahu ucap tahniah kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Solari juga turut memuji barisan pemainnya yang sentiasa memberikan 100 peratus sepanjang permainan sebagai satu pasukan namun dia kecewa kerana mereka melepaskan gol pada minit-minit akhir perlawanan.

“Kami bermain dengan konsisten dan baik sepanjang 90 minit permainan dengan tidak pernah menganggap ianya aksi yang mudah malah dengan pemain sentiasa berlari dan mendapatkan bola tetapi agak kecewa kerana pasukan lawan berjaya menjaringkan gol pada minit akhir.

“Heberty begitu komited dengan pasukan kerana sekarang sukar untuk dapat pemain yang berkualiti dan komited. Dia adalah contoh terbaik dan menetap standard yang tinggi untuk pemain malah saya juga berpuas hati dengan semua pemain yang beraksi melebihi 100 peratus selain gembira dengan Syafiq Ahmad yang sentiasa boleh diharapkan apabila khidmat dia diperlukan,” jelasnya.

Ditanya siapakah lawan pilihannya di pentas final Piala Malaysia nanti, Solari enggan memilih sama ada Terengganu FC atau Kuala Lumpur City FC sebaliknya dia mahu menumpukan persiapan aksi menentang Ulsan Hyundai dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada 7 November nanti.

“Buat ketika ini saya enggan memilih pasukan mana yang akan bertemu JDT, mana-mana pasukan yang layak ke final kami tetap anggap ia perlawanan sukar kerana hanya sekali perlawanan sahaja, oleh itu biar kami tumpukan pada aksi ACL dan baki saingan Liga Super terlebih dahulu,” katanya.

JDT layak ke final Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut sejak 2019  hasil jaringan Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri dan masing-masing dua dari Bergson Da Silva, Syafiq Ahmad dan Heberty Fernandes.