PASUKAN hoki remaja negara meneruskan cabaran dalam Kejohanan Piala Remaja Asia 2024 di Muscat, Oman, dengan keputusan seri 2-2 menentang Bangladesh dalam perlawanan ketiga Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, Al Amarat, petang Sabtu.

Walaupun gagal mengekalkan momentum kemenangan besar dalam dua perlawanan awal, skuad kendalian Iswaraphatam Vikneswaran tetap hampir pasti melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja 2025 di India, selain sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir kejohanan.

Malaysia bermula garang dengan gol seawal 38 saat permainan menerusi penyudah kemas Muhammad Danish Danial, namun Bangladesh bangkit memberikan tentangan sengit.

Dalam suku kedua, pasukan lawan berjaya menguasai permainan dengan tekanan yang tinggi, sehingga memperoleh dua peluang penalti yang kedua-duanya berjaya diselamatkan cemerlang oleh penjaga gol negara, Mohamad Rafaizul.

Namun, Bangladesh akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi jaringan pukulan sudut penalti Amirul Islam.

Selepas rehat separuh masa, Bangladesh meneruskan serangan agresif dan menjaringkan gol kedua melalui back shot cantik Md Hasan pada minit ke-36.

Walaupun pasukan negara dilihat bergelut dengan rentak permainan, Muhammad Khairul Norizam menyamakan kedudukan buat Malaysia pada minit ke-40 selepas memanfaatkan bola muntah daripada pukulan sudut penalti.

Suku terakhir menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan, namun disiplin pertahanan dan ketangkasan penjaga gawang masing-masing memastikan tiada tambahan jaringan sehingga wisel penamat.

Keputusan seri ini meletakkan Malaysia kekal berada di landasan selamat untuk ke Piala Dunia, dengan hanya perlu memastikan tiada kekalahan besar dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Pakistan esok.

Namun, untuk mengelak bertemu musuh tradisi India di separuh akhir, kemenangan ke atas Pakistan adalah misi penting buat skuad negara.

Perlawanan tersebut dijadual berlangsung pada esok, jam 8:45 malam waktu Malaysia. Dengan peluang besar untuk mengukuhkan kedudukan antara pasukan terbaik Asia, Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya baki perlawanan untuk mengekalkan momentum menuju peringkat kalah mati.