CABARAN pemain negara di Terbuka Singapura berakhir, selepas dua lagi wakil perseorangan dan beregu lelaki, ditunjukkan jalan pulang oleh pemain Denmark.
Leong Jun Hao yang mengejutkan jaguh Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting semalam, gagal menyaingi kehebatan pemain nombor 1 dunia, Viktor Axelsen, 10-21, 14-21 dalam masa 41 minit.

Leong Jun Hao sudah mula melakukan kejutan dan kini dia perlu konsisten melakukannya.
“Perlawanan ini memang sukar, tetapi banyak yang dapat saya belajar. Saya akan balik buat kerja rumah untuk perbaikinya bgi kejohanan ke depan,” kata Jun Hao kepada BWF, selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula bagaikan bukan tandingan kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Semakin menghampiri Temasya Paris, semakin bergolak prestasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Pasangan harapan negara untuk memburu pingat emas di Sukan Olimpik Paris itu, tunduk 10-21, 14-21 hanya dalam masa 29 minit.
Terdahulu, dua lagi wakil negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut tersingkir di pusingan suku akhir.