KETUA jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, melahirkan rasa syukur atas kemenangan 1-0 ke atas PSM Makassar dalam saingan Kumpulan A Piala Shopee Kejuaraan Kelab ASEAN.

Badrul mengakui tiga mata berharga ini menjadi suntikan semangat penting buat pasukannya menjelang perlawanan terakhir menentang BG Pathum United.

“Pertama sekali syukur, Alhamdulillah, tiga mata yang amat bermakna bagi saya. Walaupun kita nampak pemain-pemain keletihan sedikit malam ini, mereka telah memberi segalanya di atas padang,” ujar Badrul dalam sidang media selepas perlawanan.

Mengulas mengenai aksi pasukannya, Badrul mengakui babak pertama agak perlahan, tetapi tekanan yang lebih agresif pada babak kedua berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan PSM Makassar.

Pasukan lawan yang terkenal dengan permainan pantas diberikan arahan khusus untuk diawasi, dan pemain Terengganu FC dilihat berjaya mengekang serangan mereka.

“Kita tahu Makassar punya permainan agak laju. Jadi, saya menasihatkan pemain untuk berhati-hati dan sentiasa fokus sepanjang perlawanan,” tambah beliau.

Namun, jurulatih berpengalaman itu turut meluahkan rasa kecewa terhadap kelemahan di bahagian penyudah pasukannya, yang menyaksikan beberapa peluang keemasan gagal diterjemahkan menjadi gol, terutamanya pada babak pertama.

“Sudah tentu, kita dapat lihat penyudah kita pada malam ini agak mengecewakan. Kita mempunyai peluang di kedua-dua babak, tetapi finishing kita kurang memuaskan,” jelasnya.

Badrul kini mengalihkan fokus kepada perlawanan terakhir kumpulan menentang BG Pathum United di Thailand pada 5 Februari.

Kemenangan dalam aksi tersebut menjadi keutamaan untuk memastikan Terengganu FC mara ke separuh akhir dan terus mencipta momentum dalam kejohanan ini.

“Apapun, tahniah kepada pemain-pemain atas usaha mereka malam ini. Kita akan terus bekerja keras dan bersiap untuk perlawanan penentuan dengan BG Pathum, insya-Allah,” katanya.