RATU berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri merakam hatrik di Siri Piala Presiden kali ini, apabila mengungguli tiga kejuaraan acara pecut individu wanita.

Selepas menguasai acara pecut Siri Satu dan Dua, Nurul Izzah memonopoli acara itu dengan meraih satu lagi emas pecut pada Siri Tiga Piala Presiden di Veledrom Nasional, Nilai, pada Rabu.

Pelumba berusia 22 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenanga ketika melakukan pecutan emas dengan mengatasi rakan senegara Nurul Alyssa Mohd Farid 2-0 pada final.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berjaya mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam acara pecut individu wanita, Siri Piala Presiden apabila memenangi pingat emas ketiga pecut.

Pelumba pelapis kebangsaan, Nurul Alyssa Mohd Farid (hitam) memberi tentangan sengit kepada Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pada final pecut individu wanita elit, Siri Tiga Piala Presiden di Veledrom Nasional, Nilai.

“Kejohanan ini memang memenatkan, tapi saya rasa prestasi saya bertambah baik. Alhamdulillah… Alyssa bagi saya cabaran yang baik, memang saya berusaha untuk menang tadi,” katanya, selepas tamat perlumbaan.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia 2024 itu bagaiamanpun gembira dengan prestasi yang dipamerkan Alyssa.

Justeru, atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengakui, semakin bersemangat untuk beraksi cemerlang pada Kejohanan Asia (ACC 2025) di sini, 21-27 Feb depan.

Setakat ini, Nurul Izzah sudah merangkul empat pingat emas (3 pecut, 1 keirin) dalam tiga Siri Piala Presiden, dan mampu menambah koleksi hari ini, apabila dijangka turun dalam acara keirin, Siri Tiga Piala Presiden.