JARINGAN pada minit-minit terakhir perlawanan ketika menewaskan Hougang United memastikan Kuala Lumpur City FC layak ke final Piala Sabah Maju Jaya selepas melengkapkan tiga perlawanan tanpa kalah.
Dalam perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Suhaimi Abu menceriakan skuad warga kota dengan jaringan pada saat terakhir untuk memberikan kemenangan 1-0 sekali gus memungut tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.
Kemenangan itu nyata memuaskan hati pengendali KL City, Miroslav Kuljanac yang melakukan penggiliran pemain bagi memastikan semua pemain utamanya cergas untuk perlawanan akhir yang dijadualkan pada Ahad.
“Hanya dua pemain dikekalkan dari perlawanan pertama kerana saya memberikan rehat kepada pemain dan saya gembira dengan kemenangan ini walaupun kita masih mampu lakukan lebih baik,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu pengendali Hougang United, Marko Kraljevic pula berkata kehilangan fokus pada akhir perlawanan menyaksikan mereka dihukum KL City namun dia tetap gembira dengan persiapan menghadapi musim baharu Liga Premier Singapura minggu depan.
“Kami kehilangan fokus pada minit akhir dan kami tewas, inilah bola sepak. Bukan mudah bermain pada jam 4 petang dan perlawanan ketiga menyaksikan pemain sudah keletihan tetapi mereka banyak belajar dari kejohanan ini,” jelasnya.

Pengendali Hougang United, Marko Kraljevic (kredit foto: Sabah FC)
Kuala Lumpur City akan menunggu pemenang antara Sabah FC dan Kuching City FC untuk lawan di final manakala pasukan yang kalah akan bertemu Hougang United dalam perlawanan penentuan tempat ketiga keempat.