KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata kurang konsentrasi dan pengalaman beraksi di pentas besar adalah antara faktor utama pasukan kendaliannya tewas dalam final Piala Malaysia 2022 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu Cheng Hoe turut memberitahu bahawa dia akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan kelab untuk menilai persembahan pemain import musim ini sama ada akan dikekalkan pada musim hadapan atau tidak.

Cheng Hoe turut memberikan bayangan bahawa dia akan mengekalkan majoriti pemain muda di dalam pasukannya kerana dia percaya mereka mempunyai masa depan yang cerah dan jika diberi peluang mereka mampu jadi pemain terbaik.

Caion meraikan jaringan golnya.

“Saya rasa pemain bukannya gemuruh tetapi lebih kepada kurang konsentrasi hingga menyebabkan kami dibolosi oleh JDT. Pada separuh masa pertama, permainan beraksi dengan intensiti yang tinggi dan apabila kita melakukan beberapa kesilapan, kurang konsentrasi dan keyakinan menyebabkan JDT berjaya menjaringkan gol.

“Setiap musim baharu semua pasukan akan cuba mempertingkatkan pasukan dan saya akan duduk berbincang dengan pengurusan terutama dari segi pemain import kerana kami perlu buat penelitian lebih terperinci mengenai prestasi mereka sepanjang musim ini dan jika kami perlu lakukan pertukaran, kita akan tukar.

“Pemain-pemain muda juga perlu dikekalkan dan diberikan peluang bermain kerana saya percaya mereka bakal bersinar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Meskipun tewas, bekas juara Piala Malaysia 2016 berusia 54 tahun itu tetap berbangga dengan prestasi anak-anak buahnya kerana telah memberi satu persembahan yang cukup baik sepanjang dia mengambil alih tugasan ini.

“Kalau dilihat dalam masa dua bulan ini, saya berpuas hati dengan peningkatan beberapa pemain secara individu dan saya berbangga dengan mereka yang sudah bekerja keras dari awal tahun untuk berada pada satu tahap terbaik.

“Kebetulan saya masuk dan para pemain bertambah keyakinan mereka dan meneruskan perjuangan. Rata-rata pemain ini perlu dikekalkan kerana mereka mampu memberi cabaran musim hadapan,” tambah Cheng Hoe.

Misi serampang dua mata Selangor untuk bergelar juara Piala Malaysia kali ke-34 dan layak ke Asia gagal apabila tewas 2-1 kepada juara ‘quadruple’ yang baharu, Johor Darul Ta’zim pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.