SKUAD hoki lelaki Jepun membawa misi yang besar dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi kali ini iaitu untuk bergelar juara.

Menurut pengurus pasukan Jepun, Takayasu Mizawa menyedari misi itu bukanlah mudah tetapi tidak mustahil untuk direalisasikan oleh anak buahnya.

Beliau berkata bahawa mereka sudah membentuk pasukan itu selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020, dimana Jepun menamatkan saingan di kedudukan ke-11 di temasya sukan terbesar dunia tersebut.

Pasukan Jepun menjalani latihan di Stadium Hoki Azlan Shah semalam. (Sumber Gambar: FB PHA)

“Ini adalah pasukan baharu yang dibentuk dengan gabungan pemain berpengalaman dan muda.

“Lebih kurang 12 pemain yang beraksi di kelayakan Olimpik Valencia berada dalam pasukan dan lima lagi (pemain berusia 18-20 tahun) akan membuat penampilan kali pertama bersama skuad senior.

“Sasaran kami menjadi nombor satu di kejohanan ini tetapi saya sedar tidak mudah untuk mencapainya,” katanya lagi.

Empat pemain senior termasuk Manabu Yamashita, 35, akan menjadi pemain paling banyak membuat penampilan bersama Jepun dengan mengumpul 217 kaps.

Tiga lagi pemain senior yang berada dalam pasukan kali ini adalah Shota Yamada yang mengumpul 145 kaps, Seren Tanaka (158) dan Takashi Yoshikawa (145) yang akan terlibat dalam kejohanan tahun ini.

Pencapaian terbaik Jepun dalam kejohanan ini ialah menduduki tempat keempat pada edisi sebelum ini selepas tewas 3-5 kepada Pakistan pada penentuan tempat ketiga.

Jepun akan memulakan saingan Piala Sultan Azlan Shah 2024 dengan menentang pasukan Korea Selatan pada 4 Mei, jam 6.15 petang.