FLIKER pasukan hoki lelaki kebangsaan, Muhammad Razie Rahim optimis, skuad negara berpotensi layak ke Temasya Olimpik 2024 di Paris, selepas melihat undian pusingan kelayakan Olimpik yang dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Menurut Razie, mana-mana pasukan mempunyai peluang seimbang namun pasukan mempunyai maklumat yang cukup untuk mendapatkan kemenangan.
Begitupun, Razie menganggap pasukan Great Britain agak misteri.
Pada undian yang didedahkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), pasukan lelaki negara diletakkan dalam kumpulan A saingan kelayakan di Oman 15 hingga 21 Januari tahun hadapan, bersama Great Britain, Pakistan dan China .
“Setakat ini kita sudah ada maklumat Pakistan dan China selepas bertembung di Sukan Asia, namun Great Britain… kita belum ada input permainan mereka.
“Apa pun kita sudah memulakan persiapan untuk pasukan yang bakal kita tempuhi, setakat ini saya masih yakin yang kita boleh dapatkan tiket ke Olimpik,” kata Razie.
Di sebalik keyakinan pakar pukulan sudut penalti itu, skuad lelaki negara berdepan tugas mencabar pada talian hayat terakhir ke Sukan Olimpik Paris 2024 kerana perlu muncul tiga pasukan terbaik di Muscat, Oman.
Selepas terlepas peluang di Sukan Asia Hangzhou yang ditawarkan kepada pemenang pingat emas, anak buah Arulselvaraj hanya mempunyai jalan terakhir untuk ke Paris dengan sekurang-kurangnya menduduki tempat ketiga di Muscat.
Namun, empat lagi pasukan di Muscat berada dalam kumpulan B menjadi pesaing Speedy Tigers, iaitu Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile.
“Kita harungi perlawanan demi perlawanan terlebih dahulu. Terutama dengan aksi bertemu Pakistan. Berdasarkan ranking, Great Britain paling tinggi dalam kumpulan, namun kami akan mengkaji perlawanan mereka bagi mendapatkan tiga mata,” katanya.
Menurutnya, misi pertama adalah menduduki dua tangga teratas untuk melayakkan diri ke saingan separuh akhir yang boleh dianggap sebelah kaki ke Paris 2024, jika mara ke final di Muscat, slot ke Olimpik sudah terjamin.
Satu lagi kelayakan Olimpik 2024 berlangsung di Valencia, Sepanyol membabitkan Belgium, Ireland, Jepun dan Ukraine dalam kumpulan A, manakala kumpulan B terdiri daripada Sepanyol, Korea Selatan, Austria dan Mesir.
Setakat ini, dalam kategori lelaki, Perancis sudah layak ke temasya itu secara automatik sebagai tuan rumah, manakala lima slot automatik benua diisi New Zealand (Oceania), Belanda (Eropah), India (Asia), Argentina (Pan Amerika) dan Afrika Selatan (Afrika) apabila masing-masing muncul juara kejohanan sebenua.