PASUKAN Hoki Terengganu (THT) tidak berdepan masalah untuk membelasah TNB Thunderbolts 8-1 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) di laman sendiri, pada Sabtu.

Kenduri gol tuan rumah bermula melalui jaringan padang Muhammad Marhan Jalil pada minit kelapan disusuli tolakan mudah Shello Silverius pada minit ke-13.

Ketinggalan 0-2, pelawat merapatkan kedudukan pada minit ke-21 hasil pukulan sudut penalti Akmal Azaman menewaskan penjaga gol THT, Hafizuddin Othman.

Hanya seminit kemudian THT menambah jaringan menerusi pukulan ‘reverse’ penyerang, Faizal Saari yang menerima umpanan Mohd. Fitri Saari dari sebelah kiri.

Bintang Korea Selatan, Jang Jongyun membawa kedudukan 4-1 sehingga tamat separuh masa setelah menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

TNB Thunderbolts semakin tertekan apabila Jonghyun meledak lagi pada minit ke-50 juga menerusi gerakan sudut penalti untuk THT selesa mendahui 5-1.

Gol keenam tuan rumah terhasil selepas larian solo Jonghyun disudahkan oleh Mohd. Fitri (m-57) sebelum pemain Korea Selatan itu melengkapkan hatrik pada minit ke-59.

Faizal menambah duka TNB Thunderbolts hasil jaringan kelapan melalui gol padang pada hujung permainan sekaligus memastikan kemenangan 8-1 memihak THT.