MALAYSIA bakal menempuh satu lagi perlawanan sukar dalam kempen Piala Thomas, apabila diundi menentang juara kumpulan B, Jepun di suku akhir, hari ini (Khamis).

Jepun yang juga pilihan ke ¾ kejohanan muncul juara kumpulan selepas membenam cabaran Chinese Taipei 5-0 pada perlawanan terakhir kumpulan B.

Undian yang berlangsung di Chengdu, China itu juga meletakkan Malaysia berada pada laluan pilihan utama, China yang diundi menentang India pada satu lagi aksi suku akhir hari ini.

Sementara dua lagi pertemuan suku akhir Piala Thomas akan berlangsung akan berlangsung pada Jumaat menyaksikan Indonesia yang menjuarai kumpulan C, akan menentang Korea Selatan manakala pilihan kedua, Denmark akan berdepan Chinese Taipei.

Pada Rabu, Malaysia menamatkan saingan Kumpulan D selaku naib juara selepas tewas 2-3 di tangan Denmark sekali gus menerima kekalahan pertama dalam kempen Piala Thomas 2024.

Skuad negara bermula cemerlang menewaskan Hong Kong dan Algeria, masing-masing dengan keputusan 5-0.

Berbanding skuad negara, Jepun pula tiada masalah mengungguli kumpulan B dengan kemenangan 5-0 dalam tiga perlawanan menentang Republik Czech, Jerman dan Chinese Taipei.

Pada tiga edisi terakhir di Bangkok, Thailand 2018; Aarhus, Denmark 2020; dan Bangkok, Thailand 2022, Jepun berjaya melangkah ke separuh akhir selain naib juara pada edisi 2018.

Pada edisi ke-32 di Bangkok, Thailand dua tahun lalu, skuad negara menamatkan kempen di suku akhir apabila tewas 2-3 kepada India, pasukan yang muncul juara selepas menewaskan Indonesia di pentas final.

Kehadiran pemain berpengalaman seperti Kento Momota, menjadikan skuad Piala Thomas Jepun antara yang kuat terutamanya sebagai perseorangan ketiga.

Untuk rekod, Jepun membariskan empat perseorangan yang kental dan berpengalaman diketuai pemain nombor 5 dunia, Kodai Naraoka, Kenta Nishimoto (11), Koki Watanabe (22) dan Kento Momota (52).

Manakala mereka menyenaraikan tiga gandingan yang liat untukditewaskan iaitu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (6), Akra Koga-Taichi Saito (16) dan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura (24).

Skuad negara pula membariskan perseroangan yang diketuai Lee Zii Jia (10), Leong Jun Hao (37), Cheam June Wei (63) dan Justin Hoh (233).

Manakala gandingan beregu dibarisi Aaron Chia-Soh Wooi Yik (5), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (15) dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri (29).

Di Bangkok dua tahun lalu, Malaysia dan Jepun berada dalam kumpulan yang sama dan keputusan memihak skuad negara yang ketika itu dibarisi Zii Jia, Sze Fei-Nur Izzuddin, Aaron-Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Liew Daren, Leong Jun Hao dan Ng Tze Yong.