KEJOHANAN Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 bakal menyaksikan persaingan lima negara apabila Kanada, Jepun, Malaysia, China dan Pakistan mengesahkan penyertaan dalam edisi ke-14 kejohanan jemputan hoki lelaki bawah 21 tahun itu, dari 17 hingga 24 Oktober ini.
Kejohanan berprestij itu akan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, dengan setiap pasukan dijangka mempertaruhkan pemain terbaik masing-masing bagi merebut kejuaraan.
Perkembangan itu diumumkan sempena Majlis Pelancaran dan Penyerahan Mock Cheque Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2026 yang berlangsung di Novotel Johor Bahru, hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, YB Hairi Md Shah.
Malaysia bakal berdepan cabaran sengit daripada empat pasukan jemputan dalam usaha memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, sekali gus menguji kemampuan skuad muda negara menjelang kejohanan antarabangsa akan datang.
Berdasarkan jadual pertandingan, Malaysia akan memulakan kempen menentang China pada 18 Oktober sebelum bertemu Jepun pada 20 Oktober dan Pakistan pada 21 Oktober. Skuad negara kemudian dijadualkan menentang Kanada pada 23 Oktober bagi melengkapkan aksi peringkat liga.
Dua hari rehat turut diperuntukkan sepanjang kejohanan, iaitu pada 19 dan 22 Oktober, sebelum perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat serta aksi final berlangsung pada 24 Oktober.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan penyiar rasmi eksklusif bagi kejohanan Piala Sultan Johor 2026
Dalam perkembangan berkaitan, peminat hoki tempatan boleh mengikuti aksi kejohanan menerusi siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM), sekali gus memberikan peluang kepada penyokong di seluruh negara untuk menyaksikan perkembangan skuad muda negara.
Penganjuran SOJC 2026 bukan sahaja menjadi medan menguji bakat pemain bawah 21 tahun, malah terus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa.
Dengan lima negara bersaing dalam edisi kali ini, perhatian pastinya terarah kepada kemampuan Malaysia memanfaatkan sokongan penyokong sendiri untuk memberikan saingan terbaik di hadapan pencabar antarabangsa.