PENGENDALI skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin tidak mahu mendabik dada menjelang aksi final Piala TNB 2024 biarpun sudah memenangi dua gelaran dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

TNB selangkah lagi untuk menamatkan musim dengan gelaran ‘treble’ jika dapat menewaskan pasukan Terengganu Hockey Team (THT) dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Meskipun dilabel sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara, bekas pemain kebangsaan itu tetap menganggap aksi final itu sebagai satu perlawanan yang sukar.

“Kesilapan mudah dalam perlawanan boleh memisahkan antara juara dan naib juara. Persiapan kami untuk final setakat ini masih lagi baik dan berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan kepada para pemain.

“Saya berharap pemain-pemain dapat bermain dengan baik dan bagi persembahan yang terbaik untuk musim ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan pada Jumaat.

Kedua-dua pasukan akan bertemu untuk kali ketiga berturut-turut di peringkat akhir Piala TNB.

Sementara itu, kapten THT, Mohd Fitri Saari mengakui pasukannya turun ke perlawanan akhir sebagai pasukan ‘underdog’ ekoran prestasi luar biasa TNB musim ini.

“Kami akan cuba pertahankan piala ini, ia bukan sesuatu yang mudah tetapi kami harus mencuba untuk bagi yang terbaik kerana kita tahu persiapan mereka macam mana, mereka lebih ‘well prepared’ berbanding kami, tekanan lebih kepada kami kerana mereka tahu kelemahan kami,” jelasnya.

TNB layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan UiTM HA KPT dengan aggregat 8-2 manakala THT pula mengenepikan cabaran Maybank 6-1 di peringkat separuh akhir.