PEREBUTAN juara Piala Vivian May Soars 2024 akan menemukan dua pasukan, Malaysian University dan Liaoning Women’s Hockey Team dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.
Kedua-dua pasukan mengesahkan slot ke perlawanan akhir selepas mengenepikan cabaran Negeri Sembilan dan PDRM Blue Warriors di peringkat separuh akhir sekaligus menjanjikan aksi hoki wanita yang menarik buat para penyokong.
Ketua jurulatih Liaoning Women’s Hockey Team, Ren Ye sedar Malaysia University adalah pasukan yang kuat dan harus bersedia untuk melakukan yang terbaik serta memberikan fokus sepenuhnya dalam aksi final itu.
“Kami hanya fokus kepada aksi final ini sahaja dan sudah melupakan kekalahan lalu serta akan mencari jalan untuk menewaskan mereka kerana kami sedar Malaysian University adalah pasukan yang sangat baik,” katanya dalam sidang media pra perlawanan pada Jumaat.

Kedua-dua pasukan sudah bersedia untuk memberi saingan untuk menjadi juara pada Sabtu.
Dalam sidang media yang sama, ketua Jurulatih Malaysian University, Lailin Abu Hasan menjelaskan bahawa perlawanan akhir ini adalah aksi yang penting untuk mendapatkan gelaran ‘treble’.
“Apa yang kita sasarkan sudah dua piala kita capai jadi perlawanan esok (Sabtu) sangat penting untuk kami dapatkan yang ketiga.
Tekanan sentiasa ada dalam mana-mana perlawanan terutama sekali perlawanan akhir dan cara kami mengatasi tekanan itu adalah kunci untuk kejayaan kami,” jelasnya.
Untuk rekod, Malaysian University pernah menewaskan Liaoning Women’s Hockey Team 1-0 dalam saingan liga dan mereka berharap dapat mengulangi pencapaian yang sama pada final.