KEJAYAAN pasukan wanita Blue Warriors, yang meraih gelaran treble buat kali pertama dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) bulan lalu melonjakkan semangat ENS Group of Companies untuk terus memberikan sokongan kepada sukan tanah air.
Sokongan tidak berbelah bahagi syarikat korporat itu, membolehkan skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat mencapai kegemilangan dan tentunya Pengerusi ENS Group, Datuk Seri Selvakumar Shanmugam Chetty, berasa lebih bersemangat untuk terus memacu kejayaan dalam bidang sukan.
Walaupun tidak pernah menjadi ahli sukan profesional, Selvakumar telah menunjukkan minat yang mendalam dalam sukan dan percaya bahawa menyokong pasukan seperti Blue Warriors bukan bermotifkan kemenangan semata-mata, malah membina budaya kecemerlangan dan memberikan impak positif kepada masyarakat.

Pengerusi ENS Group, Datuk Seri Selvakumar Shanmugam Shetty yakin, sokongan syarikat korporat dengan pentadbiran yang baik mampu memacu prestasi sukan.
Menurutnya, sukan berperanan penting dalam membentuk disiplin, kerja berpasukan, serta menjadi alat untuk mengelakkan pengaruh negatif seperti jenayah dalam kalangan belia.
“Kejayaan treble pertama dalam sejarah Blue Warriors adalah detik membanggakan bagi semua yang terbabit. Kami bukan hanya menyokong kemenangan pasukan ini, tetapi juga perjalanan dan peningkatan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain. Sukan mempunyai kekuatan untuk mengubah kehidupan, dan saya mahu menjadi sebahagian daripada perubahan itu,” kata Selvakumar.

Pemain Blue Warriors bersorak kegembiraan selepas memenangi perlawanan terakhir.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan Blue Warriors hanyalah permulaan, dan ENS Group akan terus membantu serta menyokong pembangunan sukan, dari peringkat akar umbi hingga ke pentas tertinggi, demi memberi peluang kepada golongan muda untuk mengembangkan potensi mereka dalam sukan.
Blue Warriors mencipta sejarah dengan memenangi Piala Sumbangsih, kejuaraan liga, serta Piala Vivian May Soars, menjadikan pencapaian mereka sebagai inspirasi kepada lebih banyak sokongan terhadap pembangunan sukan di Malaysia.