PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah menerima Notis Tunjuk Sebab Bagi Tujuan Pembatalan di bawah Seksyen 20(1)(b) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) bertarikh 15 September 2022 dari Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS).

PJS berpendapat bahawa PSM bukan lagi entiti yang patut dan wajar didaftarkan bagi mewakili sukan Sepaktakraw di mana-mana negeri atau di Malaysia. Walaubagaimanapun, PJS tidak menyatakan secara spesifik alasan-alasan memutuskan sedemikian.

Susulan itu, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan mengemukakan maklum balas kepada notis tersebut pada 28 September 2022 dengan menyatakan beberapa alasan kukuh yang menyokong bantahan mereka terhadap cadangan pembatalan PSM oleh PJS.

“Antara alasan yang dikemukakan kepada PJS adalah bahawa PSM merupakan satu-satunya badan sukan pengelola kebangsaan bagi sukan Sepaktakraw di Malaysia yang diiktiraf oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Melalui pengiktirafan ini, atlet sukan Sepaktakraw Malaysia tetap boleh menyertai kejohanan antarabangsa seperti acara Sukan SEA dan Sukan ASIA melalui penyertaan dalam kontinjen negara di bawah MOM,” katanya dalam kenyataan dimuatnaik di Facebook PSM pada Khamis.

Menurut Mohd Sumali, PSM adalah satu persatuan yang masih bergiat aktif dan kini menaungi 11 Ahli Gabungan Negeri dan 5 Ahli Bersekutu. PSM juga tidak pernah melanggar mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta 576.

“PJS telah dimaklumkan bahawa pada 21 September 2022, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur telah memberikan kebenaran kepada PSM untuk memfailkan Semakan Kehakiman bagi mencabar dan membatalkan pendaftaran MASTAF. Pendengaran bagi Semakan Kehakiman tersebut akan ditetapkan pada 5 Oktober 2022. Oleh yang demikian, PJS tidak seharusnya membatalkan pendaftaran PSM sebelum Mahkamah membuat keputusan berkenaan status pendaftaran MASTAF.

“PSM sentiasa komited ke arah penyatuan dan penggabungan antara PSM dan MASTAF. Malah, PSM di dalam surat kepada PJS bertarikh 18 Ogos 2022 telah menyatakan hasrat tersebut dengan menetapkan beberapa syarat iaitu penggabungan secara en bloc dan pemilihan jawatankuasa yang baru dengan segera. Namun, PJS di dalam maklumbalasnya pada 7 September 2022 telah menyatakan bahawa MASTAF menolak syarat-syarat tersebut,” katanya lagi.

Jelasnya, PSM masih terus optimis jalan penyelesaian bagi segala konflik yang berlaku ini dapat dicapai tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

“PSM berharap perbincangan bersama yang dimaklumkan oleh YB Menteri Belia dan Sukan serta PJS dapat direalisasikan segera demi kelangsungan pembangunan sukan Sepaktakraw negara,” ujarnya.