MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menganggap kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 40 pingat emas di temasya Sukan SEA Kemboja 2023 sebagai satu rahmat dalam usaha meningkatkan lagi martabat sukan tanah air.

Selepas berakhir temasya, Malaysia sekadar memungut 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk menduduki tempat ketujuh keseluruhan dari 11 negara yang bertanding dan mempunyai perbezaan 102 pingat emas dengan juara keseluruhan, Vietnam sekaligus mengundang kritikan banyak pihak.

Presiden MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria menegaskan, Malaysia tidak boleh lagi menjadikan Singapura sebagai perbandingan, sebaliknya lebih fokus untuk mencabar Vietnam, Thailand dan Indonesia jika ingin berada dalam kelompok tiga terbaik di rantau Asia Tenggara.

Oleh itu Norza menggesa semua pihak supaya menjadikan pencapaian di Kemboja sebagai pengajaran dan memberikan sepenuh fokus dalam usaha melakukan transformasi terhadap lanskap sukan negara.

“Kita perlu ‘move on’, jika dapat 40 pingat emas dan gembira, adakah ia akan mengubah kedudukan Malaysia di tempat ketujuh? Adakah kita negara yang buat perbandingan dengan Singapura menerusi perbezaan 17 pingat emas atau Vietnam yang berbeza 102 pingat emas.

“Saya percaya ini boleh dianggap sebagai rahmat kerana semua orang akan gembira jika dapat 40 emas sedangkan kita masih jauh ketinggalan dengan Vietnam, Thailand dan Indonesia dan kita perlu kembali jadi tiga terbaik di Asia Tenggara.

“Hari ini saya nak beritahu bahawa model sukan di negara kita sudah lapuk dan perlukan perubahan. Dunia sudah berubah, begitu juga sukan, kita perlu terima perubahan dan bawa masuk idea baharu,” katanya ketika sidang media majlis Rangkuman Prestasi Kontinjen Malaysia Sukan SEA Kemboja 2023 di Bukit Jalil pada Jumaat.

Selain daripada itu, dia juga turut memberi fokus terhadap sukan olahraga dan renang yang mencatat keputusan tidak memberangsangkan apabila kedua-dua sukan itu hanya mampu menyumbang enam pingat emas daripada 87 pingat emas yang dipertandingkan.

“Fakta ada di sana, tengok renang hanya mendapat satu daripada 39 pingat emas dan olahraga dapat lima daripada 38 pingat emas. Semua pingat emas yang dipertandingkan dalam dua sukan ini adalah 87 pingat.

“Sejak Sukan Sea Filipina pada 2019 lagi saya sudah cakap mengenai olahraga dan renang yang mewakili 87 pingat emas tetapi kita buat tak tahu sahaja sedangkan ia merupakan sukan kategori satu pada Temasya Sukan Olimpik.

“Jadi kita perlu buat keutamaan dengan betul dan kembangkan peranan masing-masing. Selain itu, kita juga tidak boleh lagi merasa kita sahaja betul dan orang lain salah, tidak boleh macam itu,” ujarnya lagi.

Norza turut memuji inisiatif Road To Gold yang dilancarkan oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) kerana ianya melibatkan usaha bersama pelbagai pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan untuk memastikan ianya menjadi tanggungjawab semua pihak dalam melihat pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik dapat dicapai.