PEREBUTAN tiket ke Olimpik Los Angeles bagi beregu lelaki negara mungkin berlangsung sengit berikutan terdapat sekurang-kurangnya enam gandingan yang berpotensi.
Ini berikutan pasangan paling senior, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin melaungkan hasrat mereka untuk memburu slot ke Temasya 2028 itu.
Ee Yi dan Yew Sin, masing-masing akan berusia 36 dan 34 tahun pada 2028 berkata, mereka tidak memandang usia sebagai penghalang kepada impian beraksi di Sukan Olimpik.
Bagi Ee Yi, walaupun yakin persaingan semakin sukar dengan kemunculan pasangan baharu dan lebih muda namun itu tidak melunturkan semangat mereka yang tetap membara untuk layak buat kali pertama ke Olimpik.
“Kami merancang untuk terus berjuang sehingga layak ke Olimpik.
“Kami tidak mahu menyesal kemudian hari. Ia adalah impian setiap atlet untuk beraksi di Olimpik sekurang-kurangnya sekali dalam kerjaya,” kata Ee Yi.
Sementara itu, Yew Sin pula menganggap: “Tidak kira atlet dalam sukan apa sekalipun, semua pastinya mahu layak ke Olimpik.
“Jangan cerita mahu menang pingat ke apa dulu sebaliknya kami mahu usaha untuk layak dulu,” katanya.
Ee Yi-Yew Sin yang ketika ini menghuni ranking ke-24 dunia, sudah berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024 tetapi masalah kecederaan yang dialami meranapkan impian mereka.
Kini, Ee Yi-Yew Sin tampil dengan semangat baharu dan ia dibuktikan dengan pencapaian mereka yang berjaya mara sehingga suku akhir Terbuka Malaysia sebelum tewas di tangan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, semalam (Jumaat).
Meskipun gagal ke separuh akhir tetapi Ee Yi tetap berbangga dengan pencapaian mereka itu.
Tahun lalu, daripada 13 kejohanan yang sertai, tujuh kali mereka kalah di pusingan pertama.
Pencapaian terbaik mereka musim lalu adalah mara ke separuh akhir Terbuka China, September tahun lalu.