PORTUGAL memastikan langkah ke suku akhir Piala Dunia 2022 selepas menang besar 6-1 ke atas Switzerland di Stadium Lusail, awal pagi Rabu. Pemain menggantikan posisi Cristiano Ronaldo, Goncalo Ramos, menjaringkan hatrik.

Portugal sebenarnya tampil tajam sejak awal separuh masa pertama tanpa kehadiran Cristiano Ronaldo yang memulakan permainan dari bangku simpanan.

Ramos menjadi pilihan Fernando Santos sebagai pengganti Ronaldo membawa Portugal di depan pada minit ke-17. Selepas menerima hantaran Joao Felix, Ramos melepaskan rembatan dari sudut sukar ke penjuru kanan atas gawang Switzerland, yang dikawal oleh Yann Sommer.

Portugal kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-33 menerusi tandukan Pepe yang disambut tendangan sudut Bruno Fernandes. Kedudukan 2-0 untuk Portugal kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

 

Ramos berjaya membawa Portugal mendahului 3-0 pada minit ke-51 selepas mengambil kesempatan daripada hantaran daripada Diogo Dalot. Bukan sahaja menjaringkan gol, penyerang Benfica itu juga berjaya mencipta assist.

Ramos menjadi pencipta gol keempat Portugal yang dijaringkan oleh Raphael Guerreiro pada minit ke-55.

Switzerland mengurangkan defisit menerusi tandukan Manuel Akanji pada minit ke-58, tetapi Portugal sekali lagi meledak 5-1 menerusi hatrik Ramos pada minit ke-67. Ramos berjaya memecah masuk ke gawang Switzerland dengan menyepak bola melepasi Sommer selepas menerima hantaran Joao Felix.

Ronaldo kemudiannya di bawa masuk oleh Santos sebagai pemain gantian kepada Ramos pada minit ke-73, tetapi CR7 gagal menjaringkan gol.

Rafael Leao yang baru memasuki padang minit ke-87 pula mampu menjaringkan gol untuk Portugal. Pemain AC Milan itu menjaringkan gol cantik dengan melakukan rembatan ke penjuru kiri gol. Kemenangan 6-1 untuk Portugal kekal sehingga perlawanan tamat.

Portugal: Diogo Costa; Diego Dalot, Pepe, Ruben Dias, Raphael Guerreiro; Otavio (Vitinha, 74′), William Carvalho, Bernardo Silva (Ruben Neves, 81′); Bruno Fernandes (Rafael Leao, 87′); Goncalo Ramos (Cristiano Ronaldo, 74′), Joao Felix (Ricardo Horta, 74′).

Switzerland: Yann Sommer; Edimilson Fernandes, Fabian Schar (Eray Comert, 46′), Manuel Akanji, Ricardo Rodriguez; Remo Freuler (Denis Zakaria, 54′), Granit Xhaka; Xherdan Shaqiri, Djibril Sow (Haris Seferovic, 54′), Ruben Vargas (Noah Okafor, 66′); Breel Embolo (Ardon Jashari, 89′).