KEMPEN Piala Dunia FIFA 2022 semakin menghampiri. Tahukah anda, pada hari perlawanan pembukaan 20 November nanti, hampir genap 12 tahun Qatar dipilih sebagai tuan rumah.

Kejohanan membabitkan 32 pasukan terbaik dunia itu, telah menarik lebih 1.2 juta pelancong melawat Qatar yang menjadi negara Timur Tengah pertama menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak terbesar.

Tetapi, tahukah anda bahawa ada beberapa perkara yang kali pertama akan berlaku di Piala Dunia?

Teknologi Ofsaid

Pada Julai, FIFA mengumumkan penggunaan sistem ofsaid separa automatik bagi membantu keputusan lebih tepat dan pantas di Piala Dunia.

Mengikut peraturan FIFA, pemain berada dalam kedudukan ofsaid jika “mana-mana bahagian kepala, badan atau kaki berada di bahagian separuh lawan (tidak termasuk garisan tengah) dan mana-mana bahagian kepala, badan atau kaki lebih hampir kepada garisan gol lawan daripada kedua-dua bola dan lawan kedua terakhir”.

Teknologi ini menggunakan sensor dalam bola dan sistem kamera pengesan anggota badan untuk mengikuti pergerakan pemain. Ia bertujuan membantu peminat dan penonton di rumah memahami keputusan pengadil, malah data akan digunakan untuk menayangkan imej 3D pada skrin stadium.

Pertukaran Pemain

Setiap pasukan akan dibenarkan membuat penukaran lima pemain dalam setiap perlawanan, berbeza dengan Piala Dunia Rusia 2018, hanya tiga pemain.

Peraturan itu diperkenalkan selepas Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa pada 2020 mengambil kira analisa global mengenai impak Covid-19 terhadap bola sepak, termasuk wakil pihak berkepentingan.

Sepak Mula November

Tidak seperti penganjuran sebelum ini, Qatar 2022 akan dilangsungkan dalam bulan November dan Disember.

Sebelum ini, Piala Dunia sentiasa dianjurkan semasa musim panas Hemisfera Utara, kebiasaannya pada bulan Jun dan Julai. Perubahan itu dibuat untuk mengelakkan suhu tinggi di Qatar, yang boleh mencapai sehingga 50 darjah Selsius [C] (122 Fahrenheit[F]) dalam tempoh itu.

Justeru, sepanjang kejohanan tahun ini, suhu dijangka mencecah sekitar 14C ke 31C (51F hingga 88F).

Pertambahan Skuad

Saingan kali ini, setiap negara bertanding perlu menyenaraikan maksimum 26 pemain, tambahan tiga pemain berbanding saingan Piala Dunia di Russia.

Menurut FIFA, perubahan itu dibuat berikutan penganjuran kali ini bermula November selain persiapan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, jadi ia dianggap “masa unik”.

Malah, skuad pusingan kelayakan juga ditambah daripada 35 kepada 55 pemain.

Pengadil Wanita

Buat kali pertama pada Piala Dunia bola sepak lelaki, tiga pengadil wanita  disenarai di antara 36 pengadil  untuk Qatar 2022.

Stephanie Frappart (Perancis), Yoshimi Yamashita (Jepun) dan Salima Mukansanga (Rwanda), masing-masing pernah mengadili kejohanan lelaki termasuk Piala Super EUFA dan Piala Negara-Negara Afrika.

Ada tiga lagi wanita yang terbabit secara langsung sebagai antara 69 pembantu pengadil.

Piala Dunia Paling Padat

Dengan keluasan lebih kecil daripada 11,500 kilometer (km) persegi (4,440 batu persegi) dan populasi sekitar 2.9 juta, Qatar akan menjadi negara terkecil pernah menjadi tuan rumah kejohanan utama FIFA.

Kesemua lapan stadium berada dalam radius 50km (31 batu) dari ibu negara, Doha. Untuk aksi peringkat kumpulan, boleh dikatakan empat perlawanan akan berlangsung dalam sehari.