PERSEKUTUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersedia menyuntik tenaga muda ke dalam Program Podium sebagai pelaburan jangka panjang demi memastikan masa depan gemilang sukan takraw negara terus terpelihara.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, langkah itu selari dengan perancangan strategik badan induk untuk membina pelapis berkualiti yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Menurut Sumali, PSM akan mengumumkan kemasukan pemain-pemain muda ke dalam skuad Podium selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Kerja (JKK) MSN yang dijadualkan berlangsung petang ini.

“Setakat ini dalam senarai panjang kita ada 24 pemain dan daripada jumlah itu, sembilan adalah pemain baru serta muda yang dicadang untuk diserap ke dalam Program Podium,” katanya.

Sumali menjelaskan, sembilan pemain muda itu akan digandingkan bersama 15 pemain senior berprestasi tinggi bagi memberi pendedahan awal serta membina momentum persaingan di peringkat antarabangsa.

Beliau percaya pendekatan gabungan pengalaman dan tenaga muda itu mampu mempercepatkan proses kematangan pemain seterusnya memperkukuh kekuatan skuad negara yang akan berdepan kejohanan besar tahun ini seperti Piala Dunia, Piala Raja Thai serta Sukan Asia.

Menurutnya, Thailand yang terluka pada saingan Sukan SEA Disember lalu pastinya melakulan rombakan besar-besaran terhadap barisan pemain mahupun kejurulatihan dan PSM perlu bersiap sesia menghadapi kejutan yang bakal dibawa musuh tradisi itu.