LEONG Jun Hao mahu permulaan terbaik di Terbuka Malaysia 2026 menjadi pemangkin prestasi gemilang, sekaligus menamatkan musim mengecewakan tahun lalu.

Pemain ranking ke-28 itu menamatkan badi pusingan pertama Jelajah Dunia sejak september tahun lalu dengan kemenangan ke atas Wang Zheng Xing dari Cina sebentar tadi.

Pemain perseorangan nombor satu negara itu mencapai kemenangan 21-17, 21-17 dalam masa 48 minit sekaligus menyingkir Zheng Xing untuk ke pusingan kedua.

“Saya tahu musim lalu berakhir dengan prestasi yang mengecewakan. Jadi hari ini saya mulakan tahun ini dengan kemenangan,” kata Jun Hao.

Sejak September tahun lalu, Jun Hao tersingkir seawal pusingan pertama Jelajah Dunia sebanyak lima kali berturut-turut bermula di Terbuka Korea, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis, Terbuka Jerman, dan Masters Jepun 2025.

“Saya akan buat yang terbaik untuk perlawanan seterusnya dengan penuh yakin serta konsisten,” kata Jun Hao yang dijangka bertemu pemenang perlawanan antara Lee Chia Hao (Taiwan) atau Jonatan Christie (Indonesia).