WAKIL tunggal perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menagih sentuhan berbisa Kenneth Jonassen, dalam memastikan dirinya menjadi pencabar terkuat dalam arena badminton dunia.

Jun Hao, 26, menggalas tanggungjawab sebagai pemain perseorangan lelaki utama dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika ini, tidak boleh sekadar berada dalam kelompok pemain Top 30.

“Ya sudah pasti saya perlukan input daripada Jonassen, kerana dia seorang jurulatih dari Eropah. Mungkin strategi dan corak permainan dia berbeza dan saya pasti ada perkara baharu dia boleh kongsikan,” kata Jun Hao, ditemui pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025.

Kenneth Jonassen mendapatkan input daripada jurulatih perseorangan lelaki, K Yogendran, ketika Leong Jun Hao menentang pemain China, Lu Guang Zu.

Jun Hao yang kini menghuni ranking ke-29 dunia, kandas di pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 1,000 itu, selepas tunduk kepada kehebatan pemain China, Lu Guang Zu (16) dengan keputusan 17-21, 21-16, 13-21 dalam masa 80 minit.

“Dari segi tahap kecergasan saya hari ini, agak OK, tapi sepatutnya boleh lebih baik kerana saya bebas kecederaan.

“Sememangnya saya kecewa dengan kekalahan ini tapi kesilapannya pada set ketiga setelah ketinggalan terlalu jauh.

“Mungkin dia lebih berpengalaman beraksi di kejohanan bertaraf Super 1,000.”

Lu Guang Zu (China) yang menghuni tangga ke-16 dunia, lebih berpengalaman beraksi pada kejohanan bertaraf Super1,000.

Selepas ini, Jun Hao akan meneruskan cabaran di Terbuka India, yang akan berlangsung pada 14 hingga 19 Januari ini.

Jonassen mula bertugas sebagai ketua jurulatih perseorangan baharu di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Sabtu lalu, belum sempat memberi sepenuh perhatian kepada pemain.