PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengambil langkah paling penting dalam usaha membersihkan nama badan induk dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya apabila mengesahkan bahawa rayuan rasmi telah dihantar kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman dikenakan FIFA.

Perkara itu disahkan Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, yang memaklumkan bahawa Pernyataan Rayuan telah pun diserahkan dan kini menunggu proses seterusnya di peringkat CAS.

Menurut beliau, pihak peguam FAM telah diberi tempoh 10 hari untuk mengemukakan hujahan bertulis penuh, dengan 18 Disember ditetapkan sebagai tarikh akhir penghantaran dokumen.

“FAM telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas badan induk ini dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dan CAS telah menetapkan bahawa pihak peguam yang mewakili FAM mempunyai tempoh 10 hari sehingga 18 Disember 2025 untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap” ujar beliau dalam kenyataan itu.

FAM dalam kenyataan sama menegaskan komitmen sepenuhnya untuk melalui prosedur ini secara profesional, telus dan menghormati proses perundangan antarabangsa, sekali gus memberi jaminan bahawa setiap langkah diambil demi kepentingan pasukan negara dan integriti pentadbiran bola sepak Malaysia.

FAM turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan baharu akan diumumkan dari semasa ke semasa ketika proses pendengaran dan penelitian di CAS sedang berjalan.