AKSI Melaka FC menentang Negeri Sembilan FC sepatutnya berakhir sebagai satu lagi malam bola sepak biasa. Namun suasana bertukar panas apabila ketua jurulatih NSFC, Mohd Nidzam Jamil, menjadi mangsa kecaman melampau termasuk hinaan terhadap ibu dan keluarganya, ini satu tindakan yang tidak hanya keterlaluan, tetapi membuktikan ada budaya penyokong kita yang sedang rosak.
Nidzam tampil menjelaskan bahawa beliau pada awalnya cuba berinteraksi dengan penyokong selepas kekalahan pasukannya. Tetapi seorang individu tiba-tiba datang dari belakang dan melemparkan kata-kata kesat, menyentuh soal keluarga dan ibunya sesuatu yang jelas tidak dapat diterima oleh mana-mana manusia.
“Kalau bercakap tentang taktikal, teknikal saya boleh terima. Tapi bila hina keluarga, terutama ibu saya… itu tidak gentleman. Di stadium ada ramai kanak-kanak, keluarga saya pun ada. Ini bukan budaya kita,” luahnya kecewa.
Insiden ini sepatutnya menjadi peringatan keras kepada penyokong bola sepak Malaysia, kemajuan bola sepak bukan hanya terletak pada pemain, jurulatih atau liga, tetapi juga pada mentaliti penyokongnya.

Kita sering menyalahkan pengurusan, taktikal, padang, atau mutu liga, tetapi jarang bertanya, adakah kita sendiri sebagai penyokong sudah cukup matang?
Mengkritik prestasi adalah hak. Menegur taktikal adalah biasa. Tetapi menghina keluarga, ibu bapa, anak atau ahli keluarga pemain atau jurulatih adalah perbuatan yang jatuh ke tahap tidak bermaruah.
Lebih menyedihkan, ia berlaku di hadapan kanak-kanak dan keluarga jurulatih sendiri yang hadir dari Serkam hanya untuk memberi sokongan.
Dalam dunia bola sepak moden, penyokong adalah cerminan liga. Jika budaya makin dipenuhi maki hamun, hinaan dan emosi tidak bertempat, bagaimana sukan ini mahu bergerak ke depan?
Penyokong harus menjadi pelindung pemain, bukan pemusnah moral mereka.
Bola sepak Malaysia memerlukan penyokong yang berbudaya, matang, dan memahami batas bukan yang melepaskan kemarahan dengan menyerang perkara peribadi. Sudah tiba masanya kita berhenti menjadikan “maki” sebagai identiti, dan memilih untuk menjadi penyokong yang membina, bukan merosakkan.
Kerana akhirnya, bola sepak ini milik kita semua. Dan perubahan mentaliti bermula dengan… kita sendiri.