PEMAIN skuad futsal B-19 negara Muhammad Aidil Afiqzam Mohd Nasir menyasarkan pasukan mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir pada edisi pertama Kejuaraan Futsal Bawah 19 ASEAN 2025.

Beliau berkata sasaran itu realistik berdasarkan persiapan pasukan selain keyakinan terhadap kemampuan rakan rakan sepasukan menghadapi cabaran di Nonthaburi.

“Sasaran utama kami untuk edisi pertama ini adalah mencapai peringkat separuh akhir, dan andai dapat melangkah ke final serta muncul juara, itu pasti menjadi bonus untuk pasukan dan negara,” katanya.

Aidil menjelaskan bahagian serangan ketika ini berada pada tahap memuaskan selepas beberapa sesi taktikal dijalankan sepanjang kem latihan.

“Dari segi serangan, kami tidak berdepan masalah taktikal, namun di bahagian pertahanan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki sebelum kejohanan bermulai,” katanya.

FOTO: FAM

Beliau turut menetapkan sasaran peribadi untuk muncul penjaring terbanyak kejohanan selepas meraih gelaran sama pada Liga Futsal Bawah 19 tahun 2025 baru baru ini.

“Sasaran peribadi saya adalah untuk mendapat jaringan terbanyak kejohanan sebab baru baru ini saya juga merupakan penjaring terbanyak untuk liga Futsal B-19 2025,” katanya.

Aidil berkata beliau akan bekerja lebih keras untuk mencapai sasaran tersebut demi dirinya sendiri serta membawa nama Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, Aidil sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga, rakan sekolah dan rakan sepasukan sebagai tulang belakang perjalanan kariernya sejak kecil hingga dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Kalau cerita pasal tulang belakang karier saya, dari dulu sampai sekarang memang ibu bapa saya yang paling banyak bantu dan doakan perjalanan saya, dan semua doa serta sokongan mereka jadi motivasi untuk saya bawa nama Malaysia di AFF U19 nanti,” katanya.