DALAM usaha memperkasa ekosistem sukan global, khususnya di negara membangun, Dana Pembangunan Saudi (Saudi Fund for Development, SFD) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyediakan sehingga USD1 bilion (RM4.1415 bilion) dalam bentuk pinjaman konsesi untuk pembinaan serta penambahbaikan stadium yang diperakui FIFA bersama infrastruktur penting di sekitarnya.
Kerjasama berskala besar ini menandakan komitmen bersama untuk membantu negara-negara yang masih ketinggalan dalam pembangunan kemudahan sukan, sekali gus menjadikan infrastruktur sebagai pemacu pembangunan sosial dan ekonomi. Fokus utama diberikan kepada negara membangun serta ahli gabungan FIFA yang mempunyai strategi jelas untuk memanfaatkan sukan sebagai alat pembangunan nasional.
Langkah ini hadir ketika industri sukan global semakin memainkan peranan ekonomi yang besar, dengan laporan bebas menganggarkan sektor tersebut menyumbang hampir dua peratus kepada KDNK dunia. Namun jurang kemudahan antara negara maju dan negara yang masih kurang berkemampuan masih jauh berbeza dan inilah ruang yang ingin dirapatkan oleh inisiatif SFD-FIFA.
Melalui pinjaman konsesi ini, SFD dan FIFA akan bekerjasama secara langsung dengan kerajaan negara terlibat bagi membina gelanggang pelbagai guna moden yang menepati piawaian antarabangsa, selain berfungsi sebagai pusat komuniti, pendidikan dan penyertaan belia. Pembinaan fasiliti baharu dijangka membuka peluang pekerjaan, merancakkan perniagaan tempatan serta meningkatkan kesepaduan sosial dengan menyediakan ruang yang selamat dan berkualiti untuk generasi muda berkumpul, berlatih dan bersaing.
Ketua Pegawai Eksekutif SFD, Sultan bin Abdulrahman Al-Marshad menegaskan komitmen tersebut bukan sekadar pertandingan.
“Sukan bukan sekadar pertandingan ia adalah pemangkin pembangunan dan inklusiviti. Melalui pembiayaan konsesi, kami membantu negara membina infrastruktur yang mampu membuka potensi, memperkasakan belia dan menguatkan komuniti untuk generasi akan datang.”
Presiden FIFA, Gianni Infantino pula melihat kerjasama ini sebagai langkah besar dalam menjadikan bola sepak benar-benar bersifat global.
“Ramai ahli gabungan FIFA memerlukan sokongan tambahan untuk infrastruktur yang diperlukan bagi menganjurkan pertandingan. Melalui perjanjian ini, sehingga USD1 bilion disediakan untuk membiayai pembinaan dan naik taraf stadium bertauliah FIFA. Ia satu langkah penting memastikan negara-negara ini mempunyai fasiliti yang diperlukan untuk memajukan bola sepak.”
Bagi SFD, usaha terbaharu ini mengangkat pembangunan infrastruktur sukan sebagai komponen utama agendanya, sejajar dengan rekod lebih lima dekad menyokong lebih 800 projek pembangunan bernilai lebih USD22 bilion di lebih 100 negara. Melalui pendekatan ini, SFD berharap dapat menarik penyertaan lebih banyak institusi pembangunan, rakan kongsi sektor swasta dan organisasi serantau bagi mewujudkan model pembangunan sukan mampan yang boleh diperluaskan ke seluruh ekonomi sedang pesat membangun.